Friday, December 4, 2020

PKR nasihati MB Perak bermuhasabah diri

Author

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya hari ini supaya bermuhasabah diri.

“Saya juga ingin nasihatkan Peja (Ahmad Faizal) untuk bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya sembilan bulan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Farhash, Adun Perak telah menunjukkan semangat kesepakatan dalam menjamin masa depan rakyat dengan menolak menteri besar Perikatan Nasional (PN) itu.
Malah, katanya, usul dari Pengkalan Baharu, Abd Manaf Hashim yang telah disegerakan membuktikan bahawa kerajaan PN tidak ada keabsahan.

“Ketika ini kita dilanda wabak Covid-19 maka jika pilihan raya negeri diadakan ia hanya akan memudaratkan rakyat. Namun apa yang jelas adalah Peja telah ditolak di dalam Dewan Undangan Negeri.

“PKR Perak menerima keputusan ini dengan baik dan kita akan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri agar fokus kepda kebajikan rakyat tidak terabai,” katanya.

Dalam sesi pagi tadi, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Satu undi rosak atau berkecuali.

Sebagai rekod, kerajaan Pakatan Harapan yang menerajui Perak pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018 tumbang susulan Langkah Sheraton di peringkat pusat yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan Bersatu dan PKR berpaling tadah.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal yang turut berpaling tadah kekal sebagai menteri besar setelah partinya bergabung dengan Umno dan PAS menerusi PN.

Sementara itu, anggota parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah yang juga adalah bekas ahli bersatu secara sini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Muhyiddin nYassin yang juga adalah presiden Bersatu.

“Tahniah Presiden Bersatu. 3 MB dari Bersatu dilantik selepas PRU-14, baru tadi MB Perak dijatuhkan setelah Johor dan Kedah. Hebat!” katanya dalam ciapan di Twitter.

Langkah Sheraton juga menyaksikan dua menteri besar Bersatu terpaksa digugurkan. Di Kedah, wakil PAS Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai menteri besar PN manakala di Johor, Adun Umno Hasni Mohammad dipilih sebagai menteri besar baru.

mindarakyat.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-