Thursday, January 28, 2021

Annuar Musa ingatkan pimpinan UMNO jangan sombong dan bongkak

tuncarlos.com
January 28, 2021


Tanggungjawab "para nakhoda Umno" pada masa ini adalah mengemudi parti ke arah kejayaan, bukannya ke arah kehancuran, bagi menghadapi PRU15, menurut bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa.

Annuar berkata, ini kerana tidak mustahil PRU tersebut boleh diadakan sebelum 1 Ogos - iaitu tarikh darurat dijadual tamat - atau 60 hari selepas itu.

"Tidak mustahil PRU15 boleh berlaku sebelum 1 Ogos atau 60 hari selepasnya.

"Justeru yang paling utama bagi kita ahli Umno ialah memastikan Umno memenangi PRU itu, atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada pasukan yang menang.

"Tanggungjawab para nakhoda adalah mengemudi (parti) ke arah kejayaan, bukan menghancurkan. Sementara para juragan pula terus mendayung, berkerja kuat sepasukan membawa parti ke destinasinya," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran hari ini, Annuar turut mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak sombong dan bersikap bermuka-muka.

"Jangan sombong, jangan bongkak, jangan hasad, jangan pepat di luar rencong di dalam. Jangan depan lain, belakang lain. Berkata benar, berterus-terang serta sabar bila di fitnah.

"Insya-Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan. Apa yang penting, Umno selamat, kekal diyakini dan disayangi rakyat," katanya lagi.

Di tengah-tengah pergeseran antara Umno dan Bersatu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilihat sebagai antara pemimpin pro-Bersatu dalam parti itu.

Umno sepatutnya membuat keputusan berhubung isu kerjasama dengan Bersatu pada perhimpunan agung yang dijadual akhir bulan ini. Bagaimanapun ia telah ditangguh susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Selain pergeseran itu, timbul juga desakan dari beberapa kumpulan kecil Umno agar Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan presiden.

Ia selepas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwanya mempunyai kaitan dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam usaha menjatuhkan kerajaan PN, serta gesaan agar Ahli Parlimen Umno memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk satu sidang Parlimen khas.

Annuar sendiri mengkritik Zahid berkenaan dakwaan sokongan terhadap Anwar dan DAP sebelum ini setelah mendededahkan surat sokongan Zahid dan Najib Razak kepada Anwar.

Bagaimanapun, surat tersebut telah disahkan palsu oleh Najib. Begitu juga dakwaan kononnya pimpinan UMNO akan bekerjasama dengan PKR dan DAP semasa peralihan kuasa Menteri Besar Perak juga tidak berlaku.

Pada 26 Jan, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tampil menegur ahli-ahli parti yang mendesak Ahmad Zahid berundur dengan cara tidak wajar, yang menurutnya, satu budaya tidak sihat dalam parti.

-MalaysiaKini/TunCarlos

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-