Thursday, January 28, 2021

Anwar hantar senarai Ahli Parlimen kepada Agong, keputusan bersama PH, kata Mat Sabu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 28, 2021 6:45 PM

Lim Guan Eng daripada DAP dan Mohamad Sabu daripada Amanah menyokong langkah Anwar Ibrahim merayu Agong menarik balik perisytiharan darurat serta sidang Parlimen diadakan segera. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan keputusan Anwar Ibrahim menghantar senarai Ahli Parlimen menolak pelaksanaan darurat dan Parlimen bersidang segera kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan Anwar menghantar nama-nama majoriti MP (Ahli Parlimen) yang menyokong beliau kepada Agong dan tindakan tiga ADUN dari Johor, Perak dan Kedah menyaman Muhyiddin Yassin atas nasihat yang salah untuk dilaksanakan darurat adalah keputusan bersama PH,” katanya menerusi Twitter.

Difahamkan, Anwar sudah menghantar senarai 99 Ahli Parlimen, terdiri daripada PH, Pejuang dan beberapa parti di Sarawak kepada Agong pada 19 Jan lalu, sementara Warisan menghantar senarai berasingan.

Pada 14 Jan lalu, Anwar memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan pelaksanaan darurat dan sidang Parlimen segera diadakan.

Ia disusuli tindakan ketua pembangkang itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 25 Jan lalu.

Selasa lalu, tiga wakil rakyat PH memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri.

Mereka ialah ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub (Amanah), ADUN Gurun, Johari Abdul (PKR) dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP).

Kenyataan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menyusul sehari selepas polis berkata, mereka sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat.

Pada 12 Jan lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika angka kes Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Anwar pada 23 Jan lalu mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jumlah itu mencukupi dan meminta Agong mempertimbangkan usul itu serta segera memanggil Parlimen bersidang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-