Wednesday, January 20, 2021

Dua hari lepas mesyuarat tanpa pelitup, hari ini dah sah kena Covid-19

malaysiadateline.com
Oleh ARIF ATAN
January 20, 2021 12:58 pm


Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini disahkan positif Covid-19.

Pengarah Pilihan Raya Umno itu dikesan menghadiri mesyuarat dua hari lalu bersama dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Tiga gambar yang tular di media sosial itu dirakam sendiri oleh Tajuddin dengan dua daripadanya aksi swafoto wakil rakyat berkenaan bersama Zahid dan Najib.

Satu gambar lagi memaparkan 10 individu lain dalam pertemuan yang kesemuanya tidak memakai pelitup muka.

Semalam Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif Covid-19.

Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd dan Nazri duduk bersebelahan dalam satu sidang media pada 12 Januari lalu.

Menerusi Facebook rasmi Tajuddin, pengelola media sosial itu memaklumkan pemimpin Umno berkenaan melakukan ujian saringan semalam.

Sehubungan itu, kata Facebook itu, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan Tajuddin eloklah melakukan ujian saringan Covid-19.

“Datuk Seri Haji Tajuddin memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kpd semua pihak yang mendoakan beliau,” menurut catatan itu lagi.

Difahamkan, Tajuddin yang tidak menunjukkan sebarang simptom pada masa ini masih berada di rumahnya di Bukit Damansara.

Namun, anak kepada Tajuddin memberitahu, ayahnya menjalani saringan semalam selepas Nazri disahkan positif.

Dalam tempoh empat bulan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, sekurang-kurangnya 29 ahli politik pelbagai parti dijangkiti Covid-19.

LANJUT MENYUSUL

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-