Monday, January 25, 2021

Tidak mustahil Zahid tersingkir sebagai presiden Umno – Penganalisis

By Editor
-24/01/2021


Ahli-ahli parti Melayu itu kini lebih bijak dalam memerhatikan tingkah laku pemimpin...

AHMAD Zahid Hamidi akan terus diserang dan didesak untuk meletakkan jawatan dan tidak mustahil berjaya disingkirkan sebagai presiden selagi Umno tidak menetapkan hala tuju yang jelas, kata seorang penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, Zahid kini berada dalam keadaan defensif dan tidak mampu menjawab isu-isu yang dibangkitkan dengan baik.

“Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil gerakan menggulingkan beliau akan berjaya kerana Zahid sendiri gagal mematahkan hujah pihak yang menentang beliau secara terbuka sekarang,” kata Hisommudin kepada MalaysiaNow.

Hisommudin berkata, kumpulan penentang Zahid merupakan mereka yang percaya Umno tidak mampu menghadapi pilihan raya jika tidak bersama PAS dan Bersatu.

“Kumpulan ini juga percaya bahawa, Umno perlu mengakui hakikat, era kepimpinan Najib Razak dan Zahid Hamidi tidak mampu untuk memulihkan keyakinan rakyat terbanyak untuk kembali memilih Umno sebagai parti pemerintah.

“Bagi mereka Umno harus akur dengan kekurangan ini. Umno bukan lagi satu kuasa ulung yang menjadi parti terbesar memerintah negara. Semua itu sudah lenyap dilanda badai PRU14 lalu,” katanya.

Di bawah kepimpinan Zahid, Umno seringkali “flip-flop” dengan tindakan yang diambil berbeza dengan kenyataan rasmi dikeluarkan parti.

Terbaru, Umno mengatakan menerima perkenan Agong untuk pengisytiharan darurat Covid-19 tetapi pada masa sama menghantar surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendesak supaya sidang Parlimen diadakan.

Minggu lalu Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian Helmi Buang dan Ketua Pemuda Bahagian Seremban Zool Amali Hussin secara terbuka menggesa Zahid disingkirkan, langkah yang dilihat sebagai penentangan terhadap tindakan presiden parti itu kerana menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kemudian disusuli dengan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi yang menyatakan sokongan terhadap desakan agar perubahan dilakukan terhadap pimpinan tertinggi parti, mengatakan pemilihan perlu dilakukan tahun ini untuk menggantikan kepimpinan sedia ada.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa berkata, ahli-ahli parti Melayu itu kini lebih bijak dalam memerhatikan tingkah laku pemimpin disebabkan kecanggihan teknologi.

“Dulu lain, orang hormat menteri, pemimpin tapi dengan kecanggihan teknologi, ahli lebih pandai menilai, lebih tajam pemikiran. Tak macam dululah,” kata Othman yang juga setiausaha politik kepada Abdullah Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Katanya, di dalam Umno, pemimpin datang dan pergi tetapi parti tetap kukuh.

“Ada yang pergi, ada yang datang, daripada Dr Mahathir Mohamad dulu, Anwar, Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam tetapi Umno tetap kukuh,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Hisommuddin, kumpulan penentang Zahid yang juga menentang kerjasama Umno dengan Anwar dan DAP bertindak semakin agresif selepas Annuar Musa dipecat sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

“Bermulalah bibit-bibit memperlihatkan pertembungan dalaman Umno muncul di permukaan arena politik awam.

“Dengan ini juga, muncul portal Umno Baru dan tulisan makalah 30 dalil mengapa Zahid perlu letak jawatan memburukkan lagi keadaan ini,” katanya dan menambah Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan kini dilihat sebagai jurubicara kepada gerakan melawan Zahid.

Beliau berkata, kumpulan diketuai Zahid berusaha keras untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu tetapi tersekat disebabkan PAS.

“Mereka melihat gabungan kekuatan Umno-PAS adalah kekuatan yang paling ampuh dan strategik.

“Tetapi PAS pula sudah pun menyertai gabungan Perikatan Nasional dan mahu Umno turut serta membentuk kerajaan Melayu-Islam yang kuat,” katanya.

Hisommudin berkata, perpecahan dalam Umno kini begitu serius dan sukar dipulihkan dalam masa yang singkat.

“Umno kini berdepan dengan keadaan darurat dengan cara mereka yang tersendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-