Thursday, January 14, 2021

Usaha Gulingkan Muhyiddin Kerana Ada Ahli Politik Tak Mahu Masuk Penjara, Kata Aktivis

BERITA
By MT Webmaster
On Jan 14, 2021

(Malaysia Now) – Seorang penganalisis politik terkemuka mengatakan tujuan Muhyiddin Yassin mahu digulingkan bukan kerana perdana menteri tidak berkemampuan tetapi kerana pemimpin-pemimpin politik tertentu tidak mahu masuk penjara.

Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Chandra Muzaffar berkata, terdapat beberapa individu daripada parti mempunyai kerusi terbanyak dalam kerajaan kini berdepan dengan perbicaraan mahkamah dan mungkin bakal dipenjarakan.

“Mereka berharap jika pemimpin lain dinaikkan, mereka boleh dilepaskan,” kata Chandra dalam satu kenyataan hari ini.

“Dan terdapat juga pemimpin yang selama berdekad mahu menjadi perdana menteri bekerjasama dengan individu-individu yang tidak mahu dipenjarakan itu.”

Pada ketika ini, sekumpulan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) seperti Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan berdepan dengan perbicaraan mahkamah disebabkan pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa.

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan satu pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19 berkuat kuasa hari ini sehingga 1 Ogos 2021.

Dalam perutusan khas sempena perisytiharan darurat semalam Muhyiddin mengatakan kerajaan akan berjalan seperti biasa dan berikrar tidak akan mencampuri urusan mahkamah.

Chandra berkata, ahli-ahli Parlimen ini meneruskan usaha menggulingkan Muhyiddin walaupun Yang di Pertuan Agong dan sultan di beberapa negeri berulang kali menasihati ahli politik agar tidak menimbulkan huru-hara ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

“Bersama-sama rakyat, mereka merayu supaya semua ahli politik elakkan diri daripada terus berpolitik sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menangani wabak dan cuba perbaiki masalah ekonomi ketika ini.

“Namun, apa yang berlaku mereka ini seolah-olah pekak dan tidak menghiraukan permintaan itu,” katanya.

Chandra turut mempersoalkan adakah sebilangan ahli politik bertekad untuk meneruskan agenda menggantikan barisan Kabinet Muhyiddin kerana mereka yakin kerajaan itu ‘tidak sah’?

Menurut Chandra, kerajaan yang dibentuk pada Mac 2020 ditubuhkan mengikut Perlembagaan selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketika itu.

Katanya, keadaan seumpama ini pernah berlaku di peringkat negeri, seperti Terengganu pada 1961, Sabah 1994 dan Perak 2009.

Katanya, BN itu sendiri pada awal 70-an terbentuk hasil daripada pembelotan dan lompat parti hingga menjadikan ia satu gabungan besar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-