Thursday, January 21, 2021

Usul putus hubungan dengan PPBM perlu terus bergema, bukti Umno perjuang prinsip, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Adam Abu Bakar
-January 21, 2021 7:30 AM

Penganalisis berkata, tidak dinafikan ada akar umbi Umno yang percaya perisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk melemahkan parti itu.

PETALING JAYA: Umno perlu terus membawa suara akar umbi parti, walaupun perhimpunan agungnya yang dijadual pada 30 dan 31 Jan ini ditangguhkan susulan perisytiharan darurat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, usul memutuskan hubungan dengan PPBM seperti dibangkitkan akar umbi dan dipersetujui untuk dibawa ke perhimpunan agung parti perlu diteruskan, malah perlu bergema lebih kuat.

“Sekiranya Umno mahu terus relevan, mereka perlu memperjuangkan prinsip dan bertindak secara berterusan meskipun Ordinan Darurat diwartakan dan perhimpunan agung ditangguh.

“Suara Umno perlu bergema lebih kuat, bukan sahaja di peringkat parti, tetapi meliputi badan bukan kerajaan (NGO) yang pro Umno, aktivis dan pemimpin serta institusi Umno itu sendiri supaya impaknya dilihat besar,” katanya kepada FMT.
Awang Azman Pawi.
Penangguhan perhimpunan agung Umno 2020 yang menjadi titik penentu hubungan parti itu dengan PPBM diumumkan Setiausaha Agung Ahmad Maslan selaras dengan perisytiharan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan pelaksanaan darurat dan PKP itu dilihat oleh sesetengah penganalisis menyebabkan Umno “mati langkah”.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat sebelum ini dilaporkan telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian parti itu yang bersidang di seluruh negara .

Antara usul utama dibangkitkan majoriti besar Umno bahagian ialah memutuskan hubungan dengan PPBM semasa menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Awang Azman berkata, nama baik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak akan terjejas dalam isu desakan memutuskan hubungan dengan PPBM yang dipimpin oleh Muhyiddin selaku presiden, disebalik perisytiharan darurat yang berkuat kuasa sehingga Ogos.

“Jika diingat kembali, Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini juga pernah memutuskan bukan sahaja untuk menarik kerjasama dengan PPBM, tetapi mempertimbangkan keluar dari PN sekiranya kerjasama itu tidak menguntungkan BN,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan akan ada akar umbi Umno yang berpandangan perisytiharan darurat bertujuan untuk melemahkan parti itu, walaupun kerajaan menegaskan ia bertujuan memerangi penularan wabak Covid-19 .

Dalam pada itu, bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, dalam keadaan darurat tidak seharusnya aktiviti politik bersifat ekstrem diteruskan walaupun akar umbi Umno sendiri sudah menzahirkan kehendak dan keputusan untuk memutuskan hubungan engan PPBM
.
Azmi Hassan.
“Dalam keadaan sekarang, ketika pandemik di luar kawalan, kepimpinan Umno perlu pamerkan teladan dengan mengekalkan status quo.

“Walaupun kepimpinan Umno ambil keputusan tarik balik sokongan kepada PN, ia tidak akan mengubah senario politik kerana status darurat,” katanya.

Azmi berkata, pemimpin Umno yang sering menggesa supaya parti itu “bercerai” dengan PPBM perlu berehat seketika sementara menunggu sehingga darurat tamat sebelum mengambil sebarang tindakan lain.

“Tekanan kepada PN akan membuatkan pemimpin PPBM mengambil keputusan drastik. Jangan lupa, pengisytiharan darurat oleh perdana menteri adalah ekoran desakan supaya Parlimen dibubarkan sebelum ini.

“Pemimpin Umno perlu pamerkan contoh yang baik untuk redakan suhu politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-