Tuesday, March 9, 2021

Kes Zahid: Pendakwaan pinda pertuduhan dari 30 kepada 35 cek

malaysiakini.com
M Fakhrull Halim
Diterbitkan 9 Mar 2021, 11:38 am

Pendakwaan kes Ahmad Zahid Hamidi meminda pertuduhan ke-27 bagi kes pengubahan wang haram yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Ia melibatkan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300.20 keping 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.20.

Dalam pertuduhan terbaru, Ahmad Zahid - antara Mac hingga Julai 2016 - didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek-cek itu kemudiannya dikatakan diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan baru dibacakan.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. (Saya) Tidak mengaku (salah),” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, sejak Julai tahun lepas lagi, Omar Ali yang merupakan saksi ke-81 di mahkamah, mengesahkan transaksi 35 keping cek kepada Lewis & Co, yang ditukarkan daripada wang yang diterima daripada lelaki yang tidak dikenali.

Peguam lapor polis mesej tular

Sementara itu, pasukan pembelaan Ahmad Zahid memaklumkan bahawa mereka membuat laporan polis berkenaan satu mesej tular minggu lalu, yang dikatakan keputusan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.

Menurut peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, mesej itu menyatakan akan ada dakwaan lebih keras dalam kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid.

Menurut mesej itu, ia boleh digunakan sebagai rundingan, selain MPT Bersatu mahu Ahmad Zahid dijatuhkan hukuman sebelum Jun agar parti itu dapat bersama Umno dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

"Pembelaan juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini dan mahu pihak berkuasa menyiasat tentang kebenaran dakwaan berkenaan.

“Kedua-dua pihak tertuduh (Ahmad Zahid) dan pembelaan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap yang arif,” kata Hisyam kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum perbicaraan bermula pagi tadi.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin bagaimanapun menafikan kesahihan mesej tular berkenaan, dan berjanji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkannya.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-