Monday, March 8, 2021

PRU15: Guan Eng pertegas tiada kerjasama DAP, Umno

Oleh MALAYSIA DATELINE
March 8, 2021 5:58 pm


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan tidak akan ada kerjasama politik antara parti itu dan Umno dalam persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pendirian DAP konsisten tetapi parti itu hanya bersedia bekerjasama apabila ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Selama ini adalah untuk kepentingan rakyat, kami bersedia menyokong… ini adalah secara ad hoc, mengenai isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.

“Tidak ada kerjasama (rasmi) antara parti dengan Umno,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Pada masa ini, DAP mempunyai 42 ahli Parlimen iaitu jumlah paling banyak berbanding dua rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan AMANAH.

Sementara itu, Umno pula memiliki 39 anggota Dewan Rakyat dan hanya meneruskan kebersamaan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuma disokong 109 ahli Parlimen sehingga pembubaran Parlimen.

Dalam masa sama, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu DAP tidak akan menyokong amalan melompat parti, sesuai dengan prinsip urus tadbir baik bersih walaupun tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam PRU15.

Kenyataan tersebut susulan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu mengutus surat kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memaklumkan Umno tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-