Sunday, April 11, 2021

PAS Bincang dengan Bersatu tanpa restu MN kata Zahid, bincang dengan PKR dalam gelap restu siapa?

mindarakyat.net
Chief Editor 

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menganggap keputusan PAS untuk membincangkan agihan kerusi dengan Bersatu dibuat tanpa 'restu' Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Jelas Ahmad Zahid tindakan PAS itu jelas tidak dipersetujui oleh MN.

“Sebarang keputusan yang dibuat dalam MN harus diterjemahkan pelaksanaannya dan jika ada sebarang perbincangan yang dibuat di luar kerangka MN, maka saya anggap ia bukan perbincangan yang dipersetujui bersama MN.

“Perbincangan di luar kerangka MN hanya diketahui oleh mereka yang terlibat sahaja,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu sedang berbincang dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Abdul Hadi berkata PAS telah menghantar wakilnya bagi berunding dengan Bersatu berhubung perkara itu.
Bagaimanapun kata Abdul Hadi, perbincangan dengan Umno ditangguhkan buat seketika kerana parti itu kini berdepan kemelut dalaman.

"(Rundingan dengan Umno) kita akan melihat perkembangan selanjutnya kerana dalam Umno sendiri pun tidak sekata," kata Hadi pada 9 April lalu.

Presiden PAS juga memberi bayangan yang parti itu tidak akan bersama Umno dan akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) jika wujud kerjasama antara Umno dan PKR.

"Kita terus dengan PN. Kita tolak jajaran baru, tidak akan terima jajaran baru," tambahnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid hari ini dilapor mengulangi pendirian Umno yang terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Pasca pilihan raya tak boleh pertikai

Bagaimanapun katanya, Umno perlu menjadi parti yang dominan dalam kerajaan selepas PRU15 nanti.

Katanya, ia penting bagi memastikan kestabilan politik dan perkembangan ekonomi negara dapat dipacu semula.

“Umno dan BN sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik selepas PRU.

"Ketika itu sebarang bentuk kerjasama tidak perlu ada pihak yang mempertikaikannya kerana itu pasca PRU.

“Yang penting Umno harus dominan semula bersama rakan-rakan dalam BN,” katanya lagi.

Katanya lagi Ahmad Zahid, Umno dan BN mahu memastikan kestabilan dan perkembangan ekonomi negara dapat dipacu semula selepas PRU15 kerana rakyat sangat sengsara ketika ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-