Saturday, May 8, 2021

DAP tidak akan dapat raih undi Melayu-Islam

harakahdaily
May 7, 2021


KUALA LUMPUR: Undi masyarakat Melayu-Islam tetap tidak akan dapat diraih DAP meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi mendekati golongan berkenaan.

Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia berhubung kenyataan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang mendakwa parti itu bersedia untuk bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita dapat melihat sekarang ini DAP sedang rancak membuat pelbagai program bagi mendekati masyarakat Melayu, termasuk dengan memberikan bantuan kepada golongan susah, membuka kedai pakaian raya percuma dan sebagainya.

“Ini kerana mereka tahu bahawa setelah BERSATU tidak lagi bersama mereka dalam PH, dan kerana parti PAN terbukti tidak mampu menguasai sokongan majoriti Melayu, maka mereka terpaksa berusaha sendiri mendekati orang Melayu.

“Begitupun, adalah diyakini bahawa walaupun mereka berusaha, mereka tetap akan gagal kerana dari dulu hingga sekarang orang Melayu dapat melihat bahawa mereka dari kalangan Melayu yang menyertai DAP hanya dipergunakan.

“Bukan sahaja dari segi pemilihan sebagai wakil rakyat, malah pemilihan sebagai pemimpin DAP sendiri seperti apa yang sedang berlaku di peringkat negeri-negeri sekarang, lumrahnya jika ada wakil Melayu pun hanya seorang dua saja terpilih.

“Begitu juga dengan isu-isu yang pemimpin DAP perjuangkan sejak dulu hingga kini adalah isu-isu yang tidak dekat dengan orang Melayu, dan pemimpin DAP pun tahu jika mereka bekerjasama dengan Umno sebelum PRU15 mereka akan gagal,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, Umno dan DAP masing-masing menyedari hakikat bahawa tidak akan wujud sebarang pertalian politik antara kedua-duanya memandangkan prinsip parti yang tidak boleh menerima antara satu sama lain.

“Sebab itulah beberapa kali keluar kenyataan daripada pemimpin DAP, termasuk dari Anthony Loke yang disebut-sebut sebagai bakal Setiausaha Agung DAP yang baru bahawa DAP sedia bekerjasama membentuk kerajaan dengan Umno selepas PRU15.

“Kenyataan dan strategi begini, pada hemat saya, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia adalah selari dengan kedudukan DAP sebagai parti yang telah pernah mengecapi kuasa yang akan membuat apa saja untuk mendapatkan balik kuasa.

“Kerjasama membentuk kerajaan dengan Umno selepas PRU15, pada fikiran mereka, tidak akan mampu ditentang dengan berkesan oleh ahli-ahli Umno dan ahli-ahli DAP berbanding penolakan besar yang boleh berlaku jika ia dibuat dalam PRU15,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun katanya, perancangan DAP ini tidak mudah direalisasikan ekoran penolakan ahli-ahli partinya yang sentiasa teguh dalam mempertahankan prinsip mereka.

“Saya tidak fikir perancangan DAP ini akan mudah menjadi kenyataan kerana ahli-ahli Umno tidaklah sebodoh itu untuk menerima mereka, dan adalah dijangkakan dalam pemilihan Umno nanti pemimpin yang mesra DAP akan tersingkir,” kata Kamarul lagi.

Beliau tidak menafikan DAP akan melakukan apa sahaja bagi membolehkan mereka menguasai Putrajaya, termasuk bekerjasama dengan Umno.

Namun beliau menegaskan, kerjasama bagi membentuk jaringan politik dengan Umno tidak akan tercapai meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi mendekati masyarakat Melayu. 

HARAKAHDAILY 7/5/2021

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-