Tuesday, May 18, 2021

'Kebersamaan Noraini, Ong bayangan jajaran baru lepas PRU15' - Laporan

malaysiakini.com
Diterbitkan 18 May 2021, 8:38 am
Dikemaskini 8:46 am

Pembentukan jajaran politik baru Umno-DAP tidak mustahil akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata laporan.

Ini selepas Ketua Wanita Umno Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming bersama-sama melawat seorang pelajar PHD yang menghidap barah di Sungai Merab, Bangi, pada Rabu lepas.

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman dipetik Utusan Online berkata, kemungkinan itu boleh berlaku kerana Umno tidak mempunyai satu kekuatan parti dominan selepas PRU15 untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, kemungkinan berlakunya jajaran baru ini boleh berlaku. Persoalannya adakah tidak wajar sekiranya ia berlaku? Banyak orang kata sekarang ialah ia tak wajar.

“Bagaimanapun, kejatuhan Barisan Nasional (BN) dahulu pun kerana jajaran baru juga antara Bersatu dengan PKR dan DAP.

"Makna kata kalau itu sebagai sesuatu yang tidak betul, kenapa pula dulu boleh diterima oleh Bersatu,” soalnya semalam.
Gambar fail, kempen PRU14.
Kata Ahmad Tajuddin lagi, Umno akan banyak bergantung kepada pelbagai rundingan bersama parti politik lain selepas pilihan raya.

Jelasnya, kemungkinan jajaran politik baru bersama parti pembangkang boleh berlaku memandangkan PAS juga pernah bersama DAP dan PKR ketika bergabung bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Ahmad, ahli-ahli Umno perlu menerima kemungkinan situasi itu jika jajaran baru menjadi kenyataan.

Pun begitu, pemimpin akar umbi Umno ini membangkitkan persoalan bolehkah ketiga-tiga parti ini "duduk semeja menyesuaikan ideologi masing-masing."

“Persoalan sekarang ini ialah kesesuaian dari segi ideologi sama ada DAP, PKR dan Umno boleh duduk semeja bergantung kepada kesesuaian ideologi.

“Tetapi kalau tengok kepada yang ada hari ini, memang kesesuaian itu tidak ada dan ia sekali lagi bergantung kepada jajaran untuk disatukan berdasarkan kesesuaian dari segi ideologi.

"Kalau bertegas dengan masing-masing ideologi yang ada sekarang tak mungkin boleh berlaku,” katanya lagi.
Sebelum ini, Noraini (gambar, atas) telah menjelaskan pertemuannya bersama ahli parlimen Bangi, berkata ia sekadar kebetulan sahaja.

Ketua wanita Umno menafikan ada sebarang arahan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang meminta ahli parti menjemput wakil DAP dalam programnya.

Terdahulu, dilaporkan tular wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi Umno. Perbualan itu merujuk tindakan Noraini menjemput pemimpin DAP itu menyertai program lawatannya.

Sementara itu, Ong pula mempertahankan Noraini yang menerima kecaman kerana dia turut serta dalam lawatan menteri itu menziarahi calon siswazah PHD UKM berkenaan.

MP Bangi itu berharap dapat melangkah ke hadapan bersama untuk memupuk persaudaraan dan kematangan dalam perhubungan di kalangan ahli politik di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-