Thursday, June 24, 2021

Najib akui murung sebab tak dapat moratorium atau kes mahkamah?

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui mengalami kemurungan dan berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberi moratorium serta diskaun bil elektrik kepadanya.

Meskipun umum mengetahui kekayaan dan kemewahan beliau bukan sedikit, namun menerusi perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu meminta moratorium automatik tanpa faedah dan diskaun elektrik serta-merta.

Najib mendakwa disebabkan beliau dan rakyat ‘dikurung’ di dalam rumah pada Mei dan Jun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, maka bil elektrik akan meningkat.

“Maksudnya, beban bil elektrik naik pada ketika pendapatan sudah terjejas. Sekiranya pendapatan kurang atau tiada, bagaimana pula bil elektrik yang naik mencanak tidak merupakan satu beban yang lagi besar?

“Ya, saya kemurungan. Sebab itu harap kerajaan PN akan serta-merta memberi moratorium automatik tanpa faedah dan kembalikan diskaun elektrik serta-merta bagi saya dan seluruh rakyat Malaysia yang turut kemurungan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam kiriman itu beliau turut memuat naik keratan berita Agenda Daily pada 14 Jun 2021 yang bertajuk ‘Bakal bankrap Najib harap dapat moratorium, diskaun elektrik’.

(https://www.agendadaily.com/politik/bakal-bankrap-najib-harap-dapat-moratorium-diskaun-elektrik/)

Pada 14 Jun lalu Najib menerusi laman Facebooknya mengulas mengenai PKP berulang kali, moratorium automatik, diskaun bil elektrik, i-Sinar dan i-Lestari.

Ulasan dengan dimuat naik gambar beliau yang kelihatan murung itu dibuat pada hari sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan notis kebankrapan RM1.69 bilion terhadap beliau.

Keputusan itu, sekaligus menuntut Najib menyelesaikan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.

Terdahulu awal hari ini, media melaporkan kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib akan bersambung perbicaraannya Selasa depan (29 Jun) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata kes melibatkan bekas Perdana Menteri itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara pada Isnin lepas (21 Jun) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, namun ditangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dalam pada itu, status berhubung tuntutan wang sitaan RM114 juta juga menjadi tanda tanya apabila Najib atau UMNO masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada akan menuntutnya atau pun tidak walaupun pada awalnya berkata akan menuntut wang tersebut dalam tempoh 24 jam.
(agendadaily.com)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-