Friday, June 18, 2021

Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, tidak patut ditafsir ‘beberapa bulan’, kata Zahid

FMT Reporters
-June 18, 2021 9:50 PM

Ahmad Zahid Hamidi bersetuju tafsiran ‘secepat mungkin’ adalah sesuatu yang bersifat subjektif, namun menyifatkannya turut bergantung kepada keadaan dan ‘common sense’.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan kerajaan yang masih tidak membuka Parlimen dengan segera seperti yang diminta Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata titah Agong supaya Parlimen perlu bersidang ‘secepat mungkin’ tidak sepatutnya ditafsirkan dalam tempoh beberapa bulan.

“Tafsiran itu seolah-olah menyanggah elemen kebijaksanaan, keprihatinan dan kecaknaan dalam titah Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid berkata apabila Agong bertitah persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, maka secepat mungkinlah ia perlu diadakan.

Katanya, walaupun bersetuju tafsiran ‘secepat mungkin’ adalah sesuatu yang bersifat subjektif, namun masih ada aspek-aspek untuk mentafsirkannya.

“Tafsiran ‘secepat mungkin’ bergantung kepada keadaan atau sesuatu perkara. Ini ‘common sense’ yang murid sekolah pun tahu.

“Sebagai contoh guru ketika mengajar mengarahkan murid membuka buku teks secepat mungkin, maka tempoh beberapa saat adalah ‘secepat mungkin’,” katanya.

Zahid berkata persidangan Parlimen adalah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sama ada secara fizikal mahupun maya.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan membayangkan masanya “sudah hampir” untuk Parlimen bersidang selepas Agong menitahkan persidangan perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan, namun perdana menteri sudah mengumumkan sidang Dewan Rakyat boleh diadakan paling awal September ini.

Sebelum ini Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-