Monday, July 26, 2021

MP Umno masih duduk di blok kerajaan

malaysiakini.com
Diterbitkan 26 Jul 2021, 10:14 am
Dikemaskini 10:36 am

Walaupun Umno telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, para menteri dan ahli parlimennya tetap duduk di blok kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun memberitahu petugas media bahawa dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan tempat duduk di parlimen.

Carta tempat duduk di laman web parlimen yang dikemas kini semalam menunjukkan timbalan perdana menteri yang baru, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein duduk bersama Muhyiddin dan menteri kabinet lain seperti Azmin Ali dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail kini dilihat mengambil alih tempat yang sebelum ini diduduki Azmin Ali.

Menerusi carta tempat duduk itu, ahli parlimen Umno berada di sebelah ahli parlimen PAS, Bersatu dan parti-parti lain dari MCA, MIC serta dari Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) juga dilihat duduk di blok PN walaupun sebelum ini menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Semalam Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu telah memutuskan bahawa semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno perlu melepaskan jawatan mereka sekiranya Ordinan Darurat terus berkuatkuasa selepas 1 Ogos.

Dia berkata demikian ketika menyampaikan desakan Umno bahawa pengisytiharan dan Ordinan Darurat mesti dimansuhkan semasa sidang khas parlimen hari ini.

Memetik Perlembagaan Persekutuan, Zahid berkata menurut Perkara 150 (7), peraturan darurat akan terus berkuatkuasa selama enam bulan lagi setelah berakhirnya proklamasi darurat kecuali dimansuhkan oleh parlimen.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat selama lima hari yang bermula hari ini akan menyaksikan menteri kabinet memberikan taklimat kepada ahli-ahli parlimen mengenai tindakan menangani Covid-19.

Persidangan khas parlimen ini diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong bertitah agar parlimen bersidang segera, namun dijangka tidak akan berlaku perbahasan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-