Thursday, July 29, 2021

Pembatalan Ordinan Darurat teratur, selaras Perlembagaan - Pejabat PM

bharian.com
Oleh Ahmad Suhael Adnan 
ahmad.suhael@bh.com.my
- Julai 29, 2021 @ 7:23pm

Kompleks Pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.-

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri maklum seperti yang dizahirkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perdana Menteri pertama kali mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri itu pada 23 Julai lalu.

"Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021 menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat itu.

"Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, memaklumkan kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-