Tuesday, July 27, 2021

Rakyat dikurung, dikompaun perlukan penjelasan PM, kata Ahli Parlimen PKR

FMT Reporters
-July 27, 2021 11:15 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh bersikap lepas tangan susulan pemakluman Takiyuddin Hassan Ordinan Darurat dibatal sejak 21 Julai lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memberi penjelasan tuntas kepada rakyat yang dikenakan tindakan mengikut Ordinan Darurat, sekiranya ia ditamatkan pada 21 Julai lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim juga mempersoal punca kuasa yang ada pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menjalankan pentadbiran dari tempoh 21 Julai sehingga semalam.

“Rakyat seluruh negara yang ditangkap, dilokap, dihantar ke penjara, disaman, dikompaun, kuarantin dan segala macam sekatan di bawah Ordinan Darurat inginkan penjelasan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

“Apakah implikasi undang-undang terhadap tindakan dan keputusan kerajaan atau pegawainya ambil di bawah Ordinan Darurat sejak 21 Julai itu hingga hari ini, tetapi hakikat sebenarnya ordinan itu sudah dibatalkan? Adakah tindakan kerajaan itu sah? Adakah menurut undang-undang? Ini semua menuntut jawapan daripada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hassan berkata, pembatalan Ordinan Darurat dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan pemasyhuran segala Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong.

“Persoalannya kenapakah tidak ada pemasyhuran pembatalan Ordinan Darurat tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong? Adakah Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan oleh Perdana Menteri akan hasrat Kabinet untuk membatalkan Ordinan Darurat tersebut?

“Adakah Perdana Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?,” soal Hassan.

“Kalau jawapannya ya, persoalan berikutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani sebarang dokumen atau surat memberi perkenan baginda terhadap pembatalan Ordinan Darurat tersebut?,” soalnya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu dan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos ini.

Mengulas lanjut Hassan berkata, beliau berharap pada sesi petang sidang Parlimen semalam Perdana Menteri selaku ketua Jemaah Menteri akan menjawab dan memberi penjelasan mengenai kenyataan Takiyuddin, bagaimanapun ia tidak berlaku.

“Tetapi Perdana Menteri tidak muncul di Dewan Rakyat pada sesi petang. Mengapa pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang penting itu tidak dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri? Jika tiada penafian daripada Perdana Menteri, ia membawa makna kenyataan Takiyuddin itu adalah benar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-