Monday, July 26, 2021

Shahidan kecam MP DAP sebagai biadab gelar Speaker “lapdog”

agendadaily.com
26/7/2021

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun.

Ahli Parlimen (MP) Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kecam tindakan pemimpin DAP, Ram Karpal Singh yang memberi gelaran biadab “government lapdog” (anjing suruhan kerajaan) kepada Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun semasa awal persidangan di Parlimen pagi tadi.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) itu mendesak supaya MP Gelugor tersebut menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkannya satu penghinaan kepada Azhar kerana menghina orang Melayu dan agama Islam.

“Ada pihak pembangkang (Gelugor), dia kena tarik perkataan lapdog yang telah digunakan sebentar tadi… dia kena tarik.

“Dalam bahasa Melayu, ia mungkin bermaksud anjing yang dibelaikan, kita orang Islam mana boleh sebut macam itu… perkataan ini tidak boleh (digunakan), esok saya akan tengok siapa yang sebut perkataan lapdog itu,” kata Shahidan semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Selepas itu, MP Shah Alam Khalid Samad bangun mencelah dan mempertahankan kenyataan MP Gelugor tersebut dengan mendakwa kata yang dikeluarkan tersebut tidak haram untuk diperkatakan.

“Perkataan itu haram ke? Kamu nak buat fatwa ia haram ke?” soal Khalid terhadap Shahidan.

Dalam pada itu, Shahidan menyindir MP pembangkang supaya mendapatkan rawatan sakit mental di hospital kerana sering menganggu ucapan beliau semasa berbahas.

“Gangguan orang sakit mental ini menyebabkan saya tidak dapat menghabiskan perbahasan ini. Orang ini kena periksa di hospital terlebih dahulu,” katanya.

Kata-kata itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit kerana tidak berpuas hati.

Awal hari ini, Ram Karpal mengecam Azhar dengan gelaran biadab tersebut kerana tidak berpuas hati terhadap langkah kerajaan mengumumkan untuk tidak menyambung Proklamasi Darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-