Saturday, July 31, 2021

Sidang Dewan Rakyat tangguh, kami tetap mahu turun Parlimen, kata Ahli Parlimen pembangkang

FMT Reporters
-July 31, 2021 8:50 PM

Sebilangan Ahli Parlimen pembangkang sepakat tetap akan hadir ke Parlimen Isnin ini sebagai tanda bantahan.

PETALING JAYA: Sebilangan Ahli Parlimen pembangkang tetap bertegas mahu hadir ke Parlimen Isnin ini walaupun hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu sudah dibatalkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional adalah penderhaka, yang mana mereka sama sekali meminggirkan Perlembagaan negara yang sudah mereka janji untuk taat setia ketika mengangkat sumpah.

Katanya, tindakan Perdana Menteri mengarahkan Parlimen digantung umpama mencampuri hak Eksekutif dalam urusan perundangan.

“Di mana Speaker (Azhar Azizan Harun) ketika dia seharusnya membuat keputusan sama ada Parlimen boleh atau tidak bersidang. Dia sepatutnya berkomunikasi dengan semua Ahli Parlimen. Mengapa dia menyerahkan tugasnya kepada Timbalan untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen?,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim mendakwa, Muhyiddin menangguhkan sidang Parlimen kerana ingin mengelak daripada undi sama ada semua Ahli Parlimen sepakat untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat perlu dibahaskan.

“Jika dia mendakwa ada sokongan lebih 110 Ahli Parlimen, mengapa mereka mengelak untuk bersidang?

“Perdana Menteri, Speaker, Takiyuddin (Menteri Undang-Undang) serta Peguam Negara perlu letak jawatan segera bagi memulihkan kembali negara,” katanya sambil menambah, empat individu berkenaan perlu mohon maaf kepada Agong.

Justeru, katanya, beliau sudah pun mengarahkan semua 42 Ahli Parlimen DAP untuk muncul di Parlimen pada jam 10 pagi Isnin ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kehadiran mereka pada Isnin ini di Parlimen sebagai tanda membantah penutupan institusi tertinggi negara itu.

Fahmi dan Syed Saddiq sependapat kadar jangkitan di Parlimen hanya 0.9%, iaitu di bawah paras 5% seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Hampir kesemua Ahli Parlimen telah terima 2 dos vaksin, dan telah disahkan negatif dalam ujian RT-PCR pada 23/7 sebelum sidang khas bermula.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Ordinan-Ordinan Darurat perlu dibahas dan diputuskan di Parlimen, selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, tidak ada kuasa yang boleh atau patut menghalang Ahli Parlimen yang sah dan berhak berasaskan Perlembagaan Persekutuan untuk hadir ke Parlimen pada Isnin, 2 Ogos ini. Allah selamatkan Malaysia dari para pengkhianat, penderhaka, dan perosak Perlembagaan Persekutuan kita.

“Parlimen, kami datang!” kata Fahmi dalam laman Facebooknya.

Syed Saddiq berkata, kerajaan PN digambarkan sebagai takut untuk berbahas membabitkan ordinan darurat yang dijadual berlangsung pada sidang Parlimen, Isnin ini.

“Jangan ingat rakyat bodoh. Saya & rakan MPs (Ahli Parlimen) dibayar untuk bertugas di Parlimen. Saya tetap akan ke Parlimen Isnin ni. Nak halang saya, halanglah. Saya tak takut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, menyatakan rasa kecewa kerana Parlimen dipermainkan pihak kerajaan.

“Baru terima notis dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bahawa Timbalan Speaker mengarahkan agar persidangan hari Isnin (2/8/2021) ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Kenapa Parlimen di permainkan sedemikian?” katanya.

Sementara itu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mencadangkan Yang di-Pertuan Agong membatalkan Seksyen 11 Ordinan Darurat, justeru pencetus keruntuhan kerajaan dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin termasuk barisan Kabinet, sebelum pengisytiharan darurat secara automatik tamat pada tengah malam, 2 Ogos ini.

Katanya, satu Seksyen 11 baru digubal dalam Ordinan Darurat dan meletakkan kuasa tadbir urus negara semasa darurat kepada satu Majlis Penasihat Diraja Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dibantu penjawat awam di bawah kementerian masing-masing.

Haniff berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak melanjutkan tempoh darurat mulai 2 Ogos ini hingga sekurang-kurangnya 31 Disember tahun ini ataupun mana-mana tarikh mengikut Perkara 150(1) dan atau Perkara 150(2A) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keseluruhan fokus dan perhatian tadbir urus negara semasa darurat di tumpukan kepada masalah menangani Covid-19 tanpa gangguan politik sama sekali.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-