Tuesday, August 3, 2021

Kula buat laporan salah laku polis, minta siasatan bebas

FMT Reporters
-August 3, 2021 1:17 PM


PETALING JAYA: Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran membuat laporan polis setelah dihalang memasuki pekarangan Parlimen semalam.

Laporan itu menyusuli laporan yang dibuat Ahli Parlimen lain, iaitu Akmal Nasir (Johor Bahru) dan P Prabakaran (Batu) atas dakwaan sama di Balai Polis Dang Wangi.

Kula berkata, tindakan polis menyekat jalan masuk ke Parlimen adalah salah.

“Semalam, ketika negara melihat dengan kecewa dan dunia memperhatikan (kita), polis menyekat jalan-jalan menuju Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

“Bagaimanapun, anggota-anggota polis ini, ketika ditanya, tidak dapat memberitahu kami kenapa mereka menyekat (jalan masuk ke) Parlimen di bawah peruntukan undang-undang mana. Jelas sekali, arahan ini datang daripada individu dalam kedudukan yang memegang kuasa.

“Kekecohan itu memalukan kerana Parlimen tidak diprorog, yang bermaksud kami berhak pergi ke Parlimen dan mengurus sebarang perkara yang kita mahu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan Speaker Dewan Rakyat kerana membisu mengenai perkara ini.

“Di mana Speaker, mengapa beliau diam? Paling tidak, Speaker seharusnya bersuara supaya semua dapat mendengarnya,” kata beliau.

“Polis tidak sepatutnya menjadi pihak yang menyiasat perkara ini,” katanya sambil menambah, “mereka tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat salah laku dan kesilapan mereka sendiri”.

“Tentunya mereka tidak boleh menjadi hakim, juri dan pendakwa dalam hal ini,” katanya.

Beliau mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat salah laku yang terjadi semalam dan menyediakan Kertas Putih mengenainya.

“Seruan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) menjadi sangat penting sekali lagi seperti dalam senario ini.

“Isu konflik dan kepentingan diri boleh ditangani. IPCMC juga mengukuhkan keyakinan terhadap pasukan polis dan mendorong kepada siasatan yang lebih bebas dan telus,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang berarak ke Parlimen dalam protes meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, mereka tidak berjaya memasuki pekarangan Parlimen kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang jalan masuk ke situ.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-