Wednesday, August 4, 2021

Tarik sokongan: Wakil rakyat UMNO berpecah

bebasnews.my
By Ahmad Abdul Hamid
-04/08/2021

Yang jelas ialah ultimatum Zahid tidak dikongsi oleh semua wakil rakyat UMNO.

Oleh Ahmad Abd Hamid

DI SEBALIK pelbagai spekulasi dan suasana kurang menentu tentu berikutan keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahli Parlimen Pagoh itu masih perdana menteri dan kerajaan PN masih mentadbir seperti biasa.

Keadaan ini akan berkekalan sehinggalah diadakan undi percaya terhadap perdana menteri pada persidangan Dewan Rakyat September ini. Ini dinyatakan oleh Muhyiddin pada satu perutusan khas selepas menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu 4 Ogos.

Memetik Muyhiddin, baginda memberi perkenan pengundian di parlimen itu, dan jika berjaya melepasi undi percaya itu, beliau dan kerajaan pimpinannya bakal terus mentadbir sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 atau hingga parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh pada 2023. Jika tewas, maka keadaan adalah sebaliknya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pada Selasa 3 Julai mengotakan apa yang telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa parti itu akan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN. Ini diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada hari sama.

Beliau juga mendakwa dengan penarikan sokongan UMNO bererti kerajaan PN telah tumbang dan Muhyiddin perlu meletak jawatan. Pada pengumuman tersebut, Zahid diapit oleh beberapa wakil rakyat UMNO, antaranya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memang sudah lama mengisytiharkan tidak menyokong Muhyiddin dan PN.

Malah susulan pengumuman itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga meletak jawatan. Ahli Parlimen Lenggong itu adalah anggota UMNO pertama dalam kabinet yang berbuat demikian sehingga ini.

Namun yang jelas ialah ultimatum Zahid tidak dikongsi oleh semua wakil rakyat UMNO. Memetik Muhyiddin, hanya lapan orang wakil rakyat UMNO dikatakan telah mengikrarkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

Untuk rekod, UMNO mempunyai 38 wakil rakyat di parlimen. Keseluruhannya Barisan Nasional (BN) mempunyai 42 kerusi parlimen. Selain UMNO ialah dua kerusi MCA, dan masing-masing satu kerusi MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (PBRS).

Gambaran yang terserlah ialah wakil rakyat UMNO berpecah. Sementara ada yang terus menyokong Zahid, majoritinya masih tetap menyokong kerajaan PN. Ini termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu segak berdiri di samping Muhyiddin ketika beliau menyampaikan perutusan. Kehadiran Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian, menampakkan bahawa Pas terus menyokong dan mendukung kerajaan PN.

Pendirian yang diambil oleh majoriti wakil rakyat UMNO dilihat sebagai tamparan kepada Zahid yang sebelum ini sudah berkali-kali menyuarakan bahawa parti itu akan menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN tetapi tidak mendapat sokongan padu.

Sebelum ini pun, ketika Zahid menyuarakan mengenai penarikan balik sokongan, tanda-tanda tidak setuju dalam kalangan beberapa wakil rakyat UMNO sudah berbunga. Mereka secara terbuka tidak setuju kerana kerjasama dalam kerajaan PN, seperti yang dipersetujui sebelumnya, ialah sehingga PRU-15. Kerana itu sokongan yang diberi sekarang harus kekal dan tidak terhenti sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya.

Penarikan sokongan oleh UMNO, yang boleh menggugat kerajaan ketika Covid-19 masih mengganas dengan angka jangkitan dan kematian harian masih tinggi, dilihat tidak wajar dan tidak kena masanya. Ia boleh mengganggu gugat usaha kerajaan yang bertungkus lumus mengekang penularan pandemik tersebut.

Sepatutnya pada waktu ini semua pihak mengetepikan kepentingan politik dan sama-sama berganding bahu mengatasi masalah agar negara segera bebas daripada ancaman Covid-19. Dengan itu negara dan rakyat secara perlahan-lahan akan dapat kembali menikmati gaya hidup sebelum pandemik menyerang.

Kini setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan kedudukan Muhyiddin ditentukan melalui usul undi percaya pada September, semua pihak mestilah menghormati dan menjunjung titah baginda. Kepada yang ghairah mahu Muhyiddin berundur bersabarlah menunggu hingga saat itu.

Kekosongan sokongan daripada beberapa wakil rakyat UMNO ini juga tidak mustahil akan diisi oleh parti lain dalam kalangan pembangkang yang sedia menyokong kerajaan PN. Tiada siapa dapat meramal kerana dalam politik tiada yang kekal kawan atau lawan.

-BebasNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-