Thursday, August 5, 2021

Tular surat UMNO kepada Menteri, Timbalan Menteri tuntut letak jawatan segera

agendadaily.com

Surat yang sedang tular dalam media sosial.

Sepucuk surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO sedang tular dalam media sosial yang dihantar kepada semua Ahli-ahli Parlimen (MP) parti itu termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu menuntut mereka meletak jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam surat tersebut bertarikh 5 Ogos tersebut, dipercayai dihantar kepada semua MP UMNO menjelaskan pendirian parti yang membuat ketetapan pada Selasa lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kandungan surat tersebut turut membangkitkan isu derhaka yang dilakukan kerajaan PN berhubung isu perbahasan Ordinan-ordinan Darurat dan tindakan kerajaan PN yang dianggap membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong semasa Sidang Khas Dewan Rakyat minggu lalu.
Dalam surat tersebut juga, peringatan diberikan kepada ahli-ahli UMNO untuk menghormati segala perintah dan keputusan parti selari dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO.

Surat tersebut juga menuntut mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN supaya meletak jawatan daripada kerajaan PN selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa lalu.

“Justeru itu, adalah perlu untuk mana-mana Ahli UMNO mematuhi dan menghormati segala perintah dan keputusan parti selaras dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO dengan cara menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meletakkan segala jawatan yang dilantik oleh kerajaan Perikatan Nasional selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tersebut,” kata surat tersebut.

Dalam muka surat terakhir, MP UMNO tersebut perlu menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong kerajaan PN atau tidak yang perlu diisi pada ruang kosong oleh MP tersebut.

Terdahulu UMNO menerusi kenyataan Zahid pada Selasa lalu mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Untuk rekod, hanya seorang menteri dari UMNO yang meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat MT tersebut diputuskan, iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-