Friday, September 17, 2021

Ismail Sabri adalah PM kepada rakyat, bukan hanya Presiden UMNO

agendaily.com
17/9/2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seperkara yang perlu difahami selepas perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan pembangkang adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri (PM) kepada semua rakyat dan bukan hanya kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak lagi boleh mengawal Ismail Sabri atau melayaninya seperti memegang jawatan Naib Presiden dalam parti, ia bermakna mereka tidak boleh memaksanya untuk mengikut telunjuk sesuka hati.

Bagi Ismail Sabri, perkara yang lebih penting sekarang adalah memberi fokus ke arah usaha memulihkan negara, implikasi pandemik Covid-19 bukan sahaja terhadap ekonomi negara tetapi ia juga sudah mengubah sebahagian kehidupan rakyat di bawah ketika ini.

Jika dahulu sebelum Covid-19 muncul, rakyat boleh hidup dengan selesa walaupun tidak mewah, bagaimanapun keadaan tersebut sudah berubah apabila yang dahulunya hidup selesa kini ramai juga yang jadi papa kedana.

Banyak yang kehilangan pekerjaan, kemunculan banyak penjaja-penjaja yang memacak payung berniaga di tepi jalan sudah cukup mencerminkan kepayahan hidup yang dihadapi sekarang, ia belum mengambilkira profesional seperti juruterbang, jurutera, kontraktor dan eksekutif di syarikat swasta yang juga terkena tempias apabila dibuang kerja.

Realitinya, zaman pandemik menguji rakyat dengan pelbagai cabaran hidup baharu, tiada pilihan selain mencari jalan untuk survival demi sesuap nasi tanpa mengira cara apa sekalipun asalkan ia halal.

Rakyat sudah berubah dan parti-parti politik juga perlu mengubah cara pemikiran mereka serta mencari strategi yang berbeza, tidak ada guna lagi bergaduh setiap hari dan berebut kuasa tetapi akhirnya yang rugi adalah rakyat.

Begitu juga UMNO, pemimpinnya tidak boleh melayani Ismail Sabri sebagai budak suruhan parti yang hanya akan mengikut telunjuk segelintir pemimpin atasan, jalan terbaik adalah menasihati dan memberi cadangan yang dapat membantu beliau dalam mengendalikan urusan pentadbirannya.

Namun, ia bukan mudah untuk mengubah pemikiran lama yang sudah berkarat dalam UMNO, segelintirnya masih berlagak seolah-olah parti tersebut kuat seperti dahulu dan mahu membuat keputusan mengikut sesuka hati.

Keadaan tersebut sudah tidak lagi wujud dan UMNO perlu berpijak di bumi yang nyata dan bukan lagi hidup dalam kenangan, kebergantungan UMNO sekarang adalah kepada Bersatu, PAS, GPS dan beberapa Ahli Parlimen Bebas yang menyokongnya.

Jika tanpa sokongan rakan parti-parti ini mustahil UMNO dapat menjadi dominan dan kembali berkuasa di Putrajaya, sikap lama yang mendabik dada dan sombong perlu diketepikan sebaliknya pendekatan diplomasi dengan semua parti yang ada adalah jalan terbaik.

Oleh sebab itu, Ismail Sabri mengambil jalan perdamaian atau dalam erti kata lain tidak mencari gaduh dengan musuh, kerjasama politik rentas parti yang dahulunya dilontar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin diteruskan demi menjamin kestabilan politik negara.

Langkah tersebut mungkin tidak memuaskan hati segelintir kecil dalam UMNO. Individu seperti Zahid, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Puad Zarkashi, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan lain-lain yang suka menjadi batu api tidak perlu dilayani Ismail Sabri sekiranya mahu lama menjadi PM.

Ismail Sabri boleh mendengar nasihat dan pendapat yang diberikan tetapi tidak bermakna ia perlu diterima bulat-bulat, bukankah konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan seharusnya memupuk semangat musyawarah dan diplomasi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Ideologi politik lama di mana semua keputusan yang dibuat oleh UMNO adalah betul dan perlu diikuti sudah tidak lagi relevan dalam konteks politik sekarang, Ismail Sabri mungkin tidak berani untuk menyuarakan pandangan sedemikian kerana ia pasti mengundang rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi.

Tetapi apa pilihan yang Ismail Sabri ada, pilihan dan jawapan terbaik kepada setiap keputusan yang bakal diputuskannya perlu mengambilkira semua pihak dan tidak membelakangi semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang beliau sendiri perkenalkan.

Ia tidak bermakna Ismail Sabri perlu tunduk kepada pembangkang tetapi beliau boleh menggunakan jalan tengah atau keputusan ‘menang-menang’ yang dapat memberi kelegaan kepada semua, bukan hanya kepada UMNO tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hanya dengan menjadi PM kepada semua rakyat baharu Ismail Sabri akan dapat membawa keluar negara daripada krisis kesihatan paling teruk pernah berlaku dalam sejarah negara, bukan PM kepada Zahid atau parti UMNO sahaja.

Semoga maju jaya Datuk Seri Ismail Sabri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-