Friday, September 24, 2021

Mana suara PAS dalam kerajaan, soal veteran parti berhubung cabutan nombor ekor

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-September 24, 2021 9:30 AM

Mahfodz Mohamed berkata, walaupun bersama dalam kerajaan, PAS mempunyai prinsip dan tahu tentang halal, haram. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang veteran PAS mempersoalkan peranan suara pemimpin parti itu di Putrajaya selepas Dewan Rakyat dimaklumkan mengenai pertambahan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dari lapan kali setahun pada 2020, kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Bercakap kepada FMT, Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed menegaskan menteri PAS perlu sedar walaupun berada dalam kerajaan, prinsip perjuangan parti dalam menegakkan syiar Islam tidak harus diketepikan.

“Saya berasa tidak senang dengan keputusan kerajaan (naikkan cabutan nombor ramalan), sedangkan kerajaan yang ada ketika ini adalah berpaksikan Melayu-Islam, sepatutnya cabutan ini dikurangkan sedikit demi sedikit, bukan ditambah.

“Walaupun bersama dalam kerajaan kita ada prinsip, tahu tentang halal dan haram, maka menteri PAS pun kena lantang bersuara. Pegang portfolio (Menteri Agama) pun pemimpin tertinggi PAS, jadi kita perlu bersuara, jangan anggap kita sebagai minoriti dalam kerajaan kita tak boleh bersuara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan meluluskan permohonan agensi nombor ramalan itu dibawa terlebih dahulu ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan, memandangkan ia berkait dengan kepentingan orang awam.

“Sepatutnya keputusan perkara besar itu dibentangkan di (peringkat) Jemaah Menteri walaupun PAS ada tiga menteri tetapi tidak sewajarnya (permohonan menambah kekerapan cabutan) dipersetujui, melainkan perkara itu tidak dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya.

Mahfodz turut berpendapat keputusan kerajaan itu memberi dorongan kepada orang awam termasuk umat Islam untuk melakukan maksiat termasuk berjudi.

“Dengan penambahan cabutan judi akan menggalakkan orang untuk melakukan maksiat, orang Melayu Islam pun dikhuatiri terlibat terutama di kawasan pedalaman… dan ini membimbangkan kedudukan majoriti rakyat Islam.

“Kerajaan perlu ingat, kita kerajaan Islam bukan nak keuntungan dunia semata-mata tetapi keuntungan akhirat sekali,” tegasnya.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mempersoalkan pendirian pimpinan PAS selepas kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan cabutan khas daripada lapan sebelum ini, kepada 22 kali setahun untuk semua agensi nombor ramalan.

Sebelum itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz di Dewan Rakyat mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria ketika mengulas mengenai perkara itu meminta semua ahli PAS tidak melatah dengan kritikan pelbagai pihak berhubung kelulusan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan berkenaan diyakini dibuat tanpa melibatkan pimpinan PAS yang menganggotai Jemaah Menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-