Saturday, September 18, 2021

Pelantikan abang PM undang kebimbangan komitmen kerajaan laksana reformasi institusi, kata Guan Eng

FMT Reporters

-September 18, 2021 3:40 PM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pelantikan abang Perdana Menteri, Zamri Yaakob sebagai Pengerusi NAFAS menimbulkan perasaan skeptikal terhadap kerajaan dalam usahanya melakukan reformasi institusi.

PETALING JAYA: Pelantikan Zamri Yaakob, yang juga abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengundang kebimbangan terhadap komitmen kerajaan melaksanakan reformasi institusi selepas persetujuan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Transformasi dan Kestabilan membasmi konflik kepentingan, termasuk nepotisme.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pelantikan Zamri itu menimbulkan perasaan skeptikal terhadap kerajaan.

“Walaupun MoU bagi Transformasi dan Kestabilan antara Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) tidak menyebut sebarang perkara mengenai pelantikan Kabinet atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), tidak ada keraguan bahawa pelantikan berbentuk habuan politik sebagai pertukaran untuk sokongan, konflik kepentingan atau nepotisme akan meningkatkan pengawasan atau keraguan yang lebih besar mengenai komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi yang disebut dalam MoU,” katanya dalam kenyataan.

Kandungan MoU itu meliputi enam perkara, yang ditandatangani Ismail dan kepemimpinan tertinggi PH membabitkan Lim, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, serta Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

MoU terbabit antara lain bertujuan menstabilkan situasi politik demi memastikan pengurusan Covid-19 tidak terganggu, selain memulihkan ekonomi negara.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Azizi, mempertahankan pelantikan Zamri, dengan menyatakan tidak berlaku amalan nepotisme kerana beliau layak memegang jawatan berkenaan.

Nazri berkata, beliau percaya pelantikan Zamri yang sebelum ini ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang, tiada kaitan dengan Perdana Menteri kerana ia dimuktamadkan oleh Ahli Lembaga NAFAS.

“Dia ada kebolehan, takkan kerana dia abang kepada PM, dia tak boleh buat kerja apa-apa. Tun M (Mahathir Mohamad) dulu pun cakap begitu juga, anak-anak dia diberi jawatan macam-macam, tapi dia kata tak boleh nak halang sebab orang lantik dia.

“Jadi, dalam isu ini, kita tak boleh nak marah (PM), tiada isu pun…masing-masing ada kebolehan untuk manfaat negara,” katanya kepada FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-