Wednesday, October 20, 2021

'Bagaimana kerajaan akan pastikan Najib tak lari?'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 20, 2021 10:28 AM


Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri, Najib Razak memperoleh semula pasportnya walaupun sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Sedangkan katanya, ahli parlimen daripada parti itu, Tony Pua dilarang meninggalkan negara ini untuk berlepas ke Yogyakarta, Indonesia pada 2015, walaupun pasportnya sah sehingga 2020.

"Mengapa pasport MP Tony Pua disita dan dia dilarang melakukan perjalanan ke luar negeri, sedangkan Najib dibenarkan pergi ke luar negara walaupun dia disabitkan kesalahan?

"Semalam, Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4), menuntut penjelasan mengenai mengapa Pejabat Peguam Negara tidak membantah permohonan daripada mantan perdana menteri untuk mendapatkan semula dokumen perjalanan beliau walaupun selepas disabit bersalah dan juga mempunyai perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Bagaimanakah kerajaan akan memastikan Najib tidak akan melarikan diri,

"C4 telah membangkitkan persoalan berkepentingan awam yang perlu dijawab oleh Peguam Negara sendiri sekiranya beliau berpegang dan percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta prinsip-prinsip tadbir urus yang baik mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pua dilarang berlepas ke Yogjakarta pada 22 Julai 2015 selepas Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar memberitahu ketua pengarah imigresen, melalui surat bertarikh 15 Julai 2015, bahawa ahli politik DAP itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas tuduhan terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Larangan perjalanan juga dikenakan ke atas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dan kartunis politik, Zulkiflee Anuar Ul Haque, yang lebih dikenali sebagai Zunar.

Semalam C4 menuntut penjelasan mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan bekas perdana menteri untuk memperoleh semula pasportnya.

Mereka juga mempersoalkan bagaimana kerajaan akan memastikan Najib tidak akan melepaskan diri.

"Kami mendesak Pejabat Peguam Negara dan pasukan pendakwaan untuk menjelaskan kepada masyarakat mengapa tidak ada bantahan atas permohonan Najib untuk hak sementara mendapatkan pasportnya.
"Ada sebab jelas untuk bimbang tentang risiko dia melarikan diri kerana dia sedang membuat rayuan terhadap sabitannya dan terus-menerus menghadapi tuduhan yang lebih serius di mahkamah - semuanya berkaitan dengan 1MDB dan anak-anak syarikatnya," kata NGO itu dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib memperoleh semula pasportnya buat sementara waktu.

Najib mengemukakan permohonan itu pada 15 Okt lalu bagi membolehkan dia ke Singapura untuk bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan bersalin di negara itu.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Rosmah Mansor mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan sama.

Pada Julai tahun lalu, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana RM42 juta dari SRC.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-