Tuesday, October 19, 2021

Hanya Zahid cakap tiada kerjasama tapi MT tak sebut pun: Idris

agendaily.com
19/10/2021

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

PAS masih menunggu keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhubung isu kerjasama politik dan tidak menerima pendirian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai keputusan muktamad parti tersebut.

Perkara itu dijelaskan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad yang berkata setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada MT UMNO yang bermesyuarat baru-baru ini berhubung keputusan memutuskan kerjasama politik tetapi hanya Presiden UMNO secara bersendirian membuat kenyataan tersebut.

“Setakat hari ini, keputusan daripada MT tak ada pun sebut begitu (tiada Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka).

“Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah-belahkan kami,” katanya dipetik laporan portal Malaysiakini.

Beliau terdahulu menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, Zahid sebelum ini mengeluarkan kenyataan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam PRN Melaka mahu pun pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Oleh kerana MM ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan,” kata Zahid dalam satu wawancara baru-baru ini.

Jelas Zahid, keputusan memutuskan kerjasama dengan PAS juga sama dengan langkah yang diambil terhadap Bersatu sebelum ini dan berharap ahli-ahli UMNO akan menghormati pendirian tersebut.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden menghormati bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Zahid menegaskan UMNO akan bergerak secara solo dalam menghadapi kedua-dua pilihan raya tersebut tanpa sebarang kerjasama atas alasan dikhianati oleh PAS.

Namun, pendirian Zahid tersebut seakan tidak mendapat restu pimpinan UMNO lain malah seorang Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyanggah keputusan tersebut dan berkata parti belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk bergerak secara solo atau bersama dengan rakan parti lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-