Saturday, October 16, 2021

UMNO enggan bekerjasama, PN rangka strategi sendiri hadapi PRN Melaka

agendaily.com
16/10/2021

Perikatan Nasional Melaka mempunyai kekuatan tersendiri, tanpa kerjasama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perikatan Nasional (PN) akan merangka strategi sendiri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setelah UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN negeri itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan PN termasuk PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka hanya akan memecah belahkan rakyat.

“Jika dia (UMNO) tidak mahu bekerjasama, maka sebagai Setiausaha Agung PN, kami akan melakukan mengikut strategi PN sendiri.

“Beliau (UMNO) tidak mahu untuk duduk (bersama PN), saya pulangkan perkara itu kepada pemimpin-pemimpin PN untuk duduk berbincang bagi menentukan masa depan rakyat terutamanya rakyat Melaka sendiri,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, rakyat tidak mahu melihat pemimpin parti politik yang hanya pandai bercakap hingga menyebabkan perpecahan.

Menurutnya, rakyat mahukan pemimpin yang sentiasa mahukan penyatuan dalam kalangan rakyat.

Katanya lagi, kini adalah masanya untuk rakyat menentukan masa depan kedudukan seorang pemimpin yang enggan bekerjasama dengan parti bangsa sendiri.

“Dalam soal ini rakyatlah yang akan menentukan kedudukan pemimpin seperti itu nanti,” katanya.

“Kalau seorang Presiden menganggap dirinya seorang pemimpin besar yang tidak mahu bekerjasama dengan bangsa sendiri, parti yang memperjuangkan nasib rakyat, maka terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan masa depannya.

“Yang penting PN bersedia hadapi untuk memilih pemimpin yang penuh berintegriti,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa partinya tidak akan meneruskan kerjasama bersama PAS dan Bersatu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut senada dengan Zahid dengan mengatakan parti itu akan kekal dengan pendirian yang pernah dikeluarkan Presiden UMNO.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membuat keputusan itu, susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan UMNO.

Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-