Saturday, October 16, 2021

Zahid, Ismail Sabri ucap selamat bersidang

bharian.com
Oleh Suzalina Halid 
suzalina@bh.com.my
 Oktober 16, 2021 @ 11:02am

- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli akar umbi parti meneruskan perjuangan dengan penuh keyakinan dan tanpa gentar melalui persidangan cawangan di seluruh negara yang membuka tirainya semalam.

Ahmad Zahid berkata, ahli akar umbi UMNO termasuk sayap parti adalah tiang seri dan paksi kekuatan UMNO bagi memperjuang dan menegakkan kebenaran yang disuburkan melalui persidangan cawangan.

"Selamat bersidang cawangan UMNO di seluruh negara sehingga 30 November nanti. Sejarah perjuangan UMNO sangat panjang, maka teruskan ia tanpa gentar dengan penuh keyakinan.

"Perkuatkanlah, perkasakanlah, perkukuhkanlah, perhebatkanlah demi sebuah perjuangan," katanya melalui kenyataan di Facebook sambil mengajak ahli parti memohon petunjuk untuk mendapat inayah dan kekuatan kemuafakatan dalam parti.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pula menyifatkan persidangan cawangan kali ini adalah medan yang tepat bagi ahli di peringkat akar umbi membincangkan agenda memperkukuh parti.

Dalam menuju matlamat itu, Perdana Menteri berkata, ahli UMNO harus membulatkan tekad supaya parti sentiasa dipelihara dengan semangat menjunjung kepentingan agama, bangsa dan tanah air tercinta.

"Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua ahli UMNO cawangan di seluruh negara. Amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita," katanya.

Berdasarkan rekod sehingga 26 Mac lalu, UMNO mencatatkan jumlah keahlian seramai 3,359,368 orang di 21,883 cawangan seluruh negara.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan perhimpunan agung parti bagi 2021 diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022, manakala persidangan cawangan dari 15 Oktober hingga 30 November ini.

Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian pula pada 11 hingga 12 Disember depan, disusuli mesyuarat bahagian secara serentak seluruh negara pada 18 Disember.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan kepemimpinan semua peringkat cawangan, bahagian dan Pusat selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu berikutan penularan pandemik COVID-19.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-