Wednesday, December 8, 2021

Kenapa tak hantar Najib terus ke penjara? – Hassan Karim

satuberita.my
By Auzaee Athallah
-December 8, 2021

Ahli parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Abdul Karim.
Foto-MalaysiaKini

AHLI Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguhkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Memetik laporan Agenda Daily, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu tidak berpuas hati dengan keputusan penangguhan berkenaan dan membandingkan dengan permohonan sama pernah dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat dihadapi sebelum ini yang mana beliau terus dihantar ke penjara Sungai Buloh.

“Tetapi, amalan duluan atau ‘precedent’ dalam kes fitnah kedua Anwar perlu dirujuk. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepaskan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan.

“Tetapi, kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu yang diketuai Najib sebagai Perdana Menteri telah mengarahkan Pendakwa Raya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Anwar telah memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi permohonan itu ditolak dan beliau dihantar terus ke Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hassan yang juga seorang peguam menambah, berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua orang sama rata di sisi undang-undang, justeru tidak wajar sekiranya terdapat layanan berbeza antara Najib dengan Anwar.

“Justeru itu, sebagai Ahli Parlimen yang bersumpah untuk memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, maka saya menuntut supaya apa keputusan yang mahkamah telah jatuhkan ke atas Anwar hendaklah dilaksanakan hal yang sama terhadap Najib.

“Jika demikian berlaku, baharulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil,” ujarnya.

Najib didapati bersalah bersabit kes pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas rayuannya ditolak pagi ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan bekas PM itu selepas mendapati permohonan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga Hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Susulan itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan permohonan agar hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan kerana mereka ingin mengemukakan rayuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-