Tuesday, December 7, 2021

Najib tak hadir di mahkamah, hakim tegur 'ini bukan kedai kopi'

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Dec 7, 2021 10:39 AM

Mahkamah Rayuan pagi ini dengan tegas mengingatkan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa mahkamah bukan kedai kopi.

Panel hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, menegur peguam bela Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin yang hadir pada prosiding hari ini.

Panel itu memberi reaksi kepada penjelasan peguam mengenai ketidakhadiran Najib pada prosiding jenayah hari ini kerana didakwa mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Harvinder hari ini meminta pendengaran yang dijadualkan hari ini berhubung permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd ditangguhkan.

Apabila penjamin, Faizal Shamsuddin tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketiadaan Najib, Abdul Karim mengingatkannya dan peguam bahawa perlu lebih banyak bukti lagi untuk menyokong ketidakhadiran Najib di mahkamah hari ini.

Hakim menegaskan bahawa sebagai penjamin ia merupakan satu tanggungjawab yang berat kerana dia mesti berusaha untuk sentiasa mengetahui keberadaan tertuduh dan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

“Tarikh perbicaraan hari ini telah pun dimaklumkan, dan penjamin telah dimaklumkan.

“Kita boleh membatalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka.

"Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja," kata Abdul Karim dengan tegas.

Hakim Mahkamah Rayuan juga menegur pasukan peguam kerana hanya seorang penjamin, Faizal, hadir hari ini manakala seorang lagi penjamin, Alias ​​Yahya, masih dalam perjalanan.

Dia mengingatkan Harvinder bahawa lebih banyak bukti konkrit diperlukan berbanding penjelasan lisan bagi menyokong alasan ketidakhadiran Najib.

Bukan sahaja Najib, malah peguam bela utamanya Muhammad Shafee Abdullah dan sebahagian besar pasukan peguam tidak hadir hari ini kerana didakwa mempunyai kontak biasa dan kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

“Ini adalah mahkamah. Ia bukan sekadar ‘air liur’ dan bercakap semata-mata. Kita perlukan bukti fakta (dakwaan kontak rapat Najib dengan individu positif Covid-19),” kata Abdul Karim.

Apabila Harvinder cuba memohon pendengaran hari ini dilapangkan ke tarikh lain, Abdul Karim mempersoalkan sama ada ia adalah taktik untuk melapangkan tarikh keputusan yang dijadualkan esok berhubung rayuan Najib dalam kes penyelewengan SRC.

Abdul Karim berkata permohonan untuk mengemukakan bukti baru telah difailkan minggu lepas, iaitu hanya beberapa hari sebelum tarikh keputusan esok dalam rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman bagi kes SRC.

Hakim juga menegaskan bahawa mahkamah diberi kuasa di bawah Akta Mahkamah Kehakiman untuk mengarahkan sebarang prosiding jenayah dijalankan secara dalam talian.

"Kita berada dalam era teknologi (atas talian) dan terdapat banyak amalan berkaitan," katanya, sambil menambah peguam kini malah boleh menjalankan prosiding secara zoom tanpa memasuki pejabat firma guaman.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya, V Sithambaram, yang mewakili pihak pendakwaan hari ini, bersetuju dengan pendapat panel hakim.

Dia berkata kebenaran menangguhkan prosiding hari ini menimbulkan risiko ia menjadi alasan biasa untuk digunakan tertuduh lain dalam kes yang berbeza.

“Adalah satu trend jika kes ini hari ini dibenarkan ditangguhkan kerana ada yang mengatakan dia mendapat Covid-19.

"Ia akan menyebabkan orang lain menyebut ini sebagai alasan untuk penangguhan," kata Sithambaram.

Panel itu kemudian menolak permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan bagi permohonan bukti baru hari ini, dan mengarahkan perbicaraan disambung semula pada pukul 12.30 tengah hari ini melalui zoom.

Abdul Karim juga mengingatkan pasukan pembelaan bahawa tarikh keputusan esok untuk rayuan Najib dalam kes SRC belum dilapangkan dan masih diteruskan, sementara menunggu keputusan permohonan bagi mengemukakan bukti baru.

Mahkamah menetapkan esok bagi membuat keputusan berhubung rayuan Najib untuk membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-