Thursday, December 2, 2021

Nak rampas Selangor perlukan PAS, Bersatu tak perlu: Noh

agendaily.com
2/12/2021
PAS kekal bersama dalam gabungan Perikatan Nasional dan pada masa sama masih mempertahankan Muafakat Nasional bersama UMNO.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan kerjasama dengan PAS sekiranya mahu memastikan Selangor dapat dirampas semula daripada Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Noh Omar.

Pengerusi BN Selangor itu berkata pertolongan daripada PAS lebih penting berbanding Bersatu di Selangor, oleh sebab itu Muafakat Nasional (MN) perlu diteruskan di negeri tersebut jika mahu memastikan kejayaan untuk memenangi Selangor pada pilihan raya umum depan nanti.

“Kerana itu kita di Selangor, cara terbaik ialah dengan MN. Sebab itu kita dengan PAS negeri hubungan kita baik.

“Kita harap pucuk pimpinan UMNO, PAS tolong tengok… Selangor ini lain dari lain. Politik ini lain negeri, lain cara,” katanya semasa wawancara dengan Utusan Mlaysia.

UMNO dan BN kali terakhir memerintah Selangor pada 2007 sebelum dirampas Pakatan Harapan 2008 dan kekal sehingga hari ini.

Untuk rekod, ketika ini, PH memegang 41 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Bersatu memegang enam kerusi, UMNO dengan lima kerusi, Pejuang dengan tiga kerusi dan PAS satu kerusi.

Berhubung kerjasama dalam MN, Noh berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah dimaklumkan berhubung langkah untuk mengekalkan kerjasama MN, namun sekiranya gagal jika PAS masih mahu bersama Perikatan Nasional (PN) mereka tiada pilihan lain lagi.

“Kalau di Selangor Umno dan PAS masih nak bertembung saya bimbang dua-dua akan habis. Kena cari formula jangan bertembung.

“Kita harap semangat MN di Selangor kita akan teruskan, tapi kalau PAS nak dengan PN kita tak ada pilihan. Jangan esok-esok berlaku pertembungan nak salahkan Umno,” katanya lagi.

Berhubung kerjasama dengan Bersatu, Noh yang juga pengerusi UMNO Selangor berkata pihaknya terikat dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti itu.

Kerjasama PAS-UMNO kini dipersimpangan selepas masing-masing memutuskan untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu dengan PAS memilih PN, sementara UMNO kekal dengan gabungan mereka BN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-