Monday, October 1, 2018

PORT DICKSON: PAS HARAP SOKONGAN UMNO

By watan
on October 1, 2018


Meskipun tidak dibantu UMNO, Barisan Nasional (BN), PAS tetap mengharap rakan sekutunya yang baharu itu mengundi calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak pasti sama ada UMNO ada membantu ataupun tidak memandangkan parti itu mengambil keputusan memboikot PRK terbabit.

“Dalam sistem demokrasi kita menerima siapa sahaja yang menyokong atau menerima calon mereka dan tidak sekadar orang PAS, tetapi saya tidak pasti (UMNO) ada bantu atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana kempen Pas di Kampung Teluk Kemang, Ahad malam.

Beliau turut diminta penjelasan sama ada berlaku sebarang pertemuan dengan kepimpinan tertinggi UMNO membincangkan kerjasama mengenai PRK.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa PAS bersendiri sejak selepas UMNO membuat kenyataan tidak akan bertanding dan tidak akan membenarkan ahli-ahlinya turun berkempen.

“Tetapi kalau dia ada kesukarelaan nak mengundi kita, itu lain cerita.. kita mengharapkan UMNO sepakat mengundi calon PAS di Port Dickson,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan tentang kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima slogan PAS ‘Islam untuk Semua’ dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam.

Wartawan Watan-Online

Bangsa Malaysia boleh sebabkan Melayu terkubur?

NURULFATIHA MUAH
1 OKTOBER 2018
Penyelidik, Pengkaji, Penulis dan Penceramah Sejarah Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman mengupaskan dalam Wacana Ilmiah tentang Asal Usul Melayu bertempat di Majlis Perundangan Melayu. Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor.

KUALA LUMPUR - Istilah bangsa Malaysia yang digunakan meluas pada hari ini boleh menyebabkan Melayu terkubur jika terus digunakan.

Penyelidik, penulis dan penceramah sejarah, Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman berkata, ini kerana istilah itu memberi tafsiran asimilasi semua etnik sebagai satu bangsa.

"Bila kita selalu sebut bangsa Malaysia, dengan sendirinya bangsa lain terutama Melayu yang kita amat sayangi dan ada nenek moyang umur puluhan ribu tahun akan mati.

"Tak kan kita nak hilangkan macam itu sahaja?," katanya dalam program wacana ilmiah bertajuk Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda, di sini, hari ini.

Zaharah berpendapat, penggunaan istilah itu juga akan merugikan banyak perkara terutama dari segi sejarah dan identiti diri.

"Ia menyebabkan kita sebagai bangsa asal di sini akan terus mati begitu sahaja secara perlahan. Selepas itu, semua ada identiti diri (masing-masing). Kita hilang identiti diri bila kita kata bangsa Malaysia.

"Ini pandangan saya. Saya lihat hari ini radio pun sudah gunakan istilah ini banyak kali yang secara tidak langsung mempromosikan bangsa Malaysia tanpa mereka meneliti apa akan terjadi selepas perkara ini berlarutan," katanya.

Menurutnya, tidak banyak bangsa yang diiktiraf di dunia.

"Jika diikutkan pada negara seperti Amerika, mereka tidak sebut bangsa Amerika, tetapi gunakan 'American' yang bermaksud rakyat Amerika.

"Jadi bangsa Malaysia kita hendak ikutkan berdasarkan apa? (Sedangkan) bangsa Melayu ini kita boleh wujudkan banyak kajian yang mendalam dan bangsa Malaysia pula adalah satu jelmaan dalam masa paling singkat," katanya.

Hadi selar oportunis sembahyang, tapi 'menari Hindu, Buddha'


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kempennya di Port Dickson menegaskan jawatan tidak boleh diberikan kepada “orang yang oportunis”.

"Tempat tok lebai dia sembahyang, tempat Benggali pakai serban Sikh, tempat kuil Hindu menari Hindu, tempat Buddha menari Buddha," beliau dipetik sebagai dalam ceramah di Telok Kemang.

Laporan di Harakahdaily itu tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan itu.

Baca: Anwar: Dulu ahli PAS pun ikut saya ke kuil

Bagaimanapun, berita sama mengkritik calon lawan mereka dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hadi juga berkata seseorang mestilah konsisten dengan agamanya walau di mana berada.

"Ini orang yang boleh berlakon dengan semua puak yang ada di Malaysia ini, tak konsisten," katanya, seperti dilaporkan media rasmi PAS itu.

Anwar terkenal sebagai seorang pemimpin yang vsering memetik dan mengambil contoh pelbagai tamadun dunia dalam ucapannya.

Baru-baru ini, video aksi beliau meniru aksi seorang pelakon filem Tamil popular mendiang MG Ramachandran (MGR) menjadi tular.

Tak salah, minta ampun apa?

Sementara itu, Hadi juga berkata beliau pelik apabila ada calon yang terpaksa meminta ampun kepada Lembaga Pengampunan, ketika mengaku tidak bersalah.

"Kepada orang yang ada maruah, tak perlu minta ampun.

“Dia tidak bersalah, minta ampun apa?" ujar Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

Anwar bebas pada 16 Mei lalu setelah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong daripada kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saiful turut bertanding menentang Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dalam persaingan tujuh penjuru.

Sementara itu, Hadi juga mendakwa Anwar “tunduk kepada barat” ketika menguruskan krisis kewangan di hujung 90-an kerana mahu meminjam dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Hadi berkata IMF berada bawah pengaruh Amerika dan Zionis.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.

PAS meletakkan Left. Kol (B) Nazari Mokhtar sebagai calonnya.

Dakwaan liwat III: Cari modal lain, kata Anwar

Geraldine Tong & Faisal Asyraf
Diterbitkan 1 Okt 2018, 1:26 petang


Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga adalah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil (PKR) Port Dickson enggan melayan tuduhan liwat terbaru yang dilemparkan terhadapnya.

“Sudahlah. Sudah lebih 20 tahun saya difitnah dengan pelbagai perkara.

“Jadi Lokman pun sudahlah, cari modal lain,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson, hari ini.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata, beliau belum berhasrat mengambil tindakan undang-undang buat masa ini kerana mahu memberi tumpuan kepada PRK dihadapinya.

“Saya minta individu terbabit menghentikan perbuatan memfitnah saya,” katanya.

Semalam, Lokman dalam catatan di Facebooknya mendakwa bahawa Mediacorp Singapura melaporkan seorang pelajar Indonesia membuat laporan polis di Singapura bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.

Mediacorp kemudian mengeluarkan penafian menjadi sumber laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita palsu. Mereka juga memaklumkan kepada Lokman supaya menurunkan berita itu. Menurut syarikat itu, pihak berkuasa Singapura juga menafikan wujudnya laporan polis berkenaan.

Hantaran itu kemudian dipadamkan dan Lokman menjelaskan bahawa artikel tersebut tidak diterbitkan oleh Mediacorp.

Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi tadi, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil, membuat laporan polis mengenai dakwaan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini membuat laporan polis ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang dalam hantaran di Facebook mendakwa bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbabit dengan dakwaan liwat terbaru.

"Saya membuat laporan ini kerana saya fikir kenyataan itu dibuat dengan niat jahat, penuh tuduhan dan cubaan mengubah persepsi orang ramai terhadap Anwar yang adalah calon dalam pilihan raya kecil Port Dickson," kata Fahmi.

Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera kerana katanya, beliau dimaklumkan Lokman akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan "tidak berasas" seperti itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menafikan dakwaan terbaru itu yang menurutnya seolah-olah cubaan untuk menjejaskan kerjaya politik suaminya.

"(Dakwaan ini) sudah jawab... itu fake news (berita palsu)," kata Wan Azizah.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran bulan kaunseling kebangsaan tahun 2018 di ibu pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya.

Bekas pemimpin MIC: Orang PD bertuah bakal PM jadi wakil rakyat

B Nantha Kumar
Diterbitkan 1 Okt 2018, 12:04 tengah hari 


PRK PD | Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bakal perdana menteri terus dijadikan kempen untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson.

Kali ini ia disuarakan bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan yang juga bekas anggota parlimen Teluk Kemang - nama lama bagi kerusi parlimen Port Dickson - selama dua penggal.

Menyifatkan Anwar sebagai pemberian Tuhan kepada penduduk Port Dickson, beliau berkata mereka bertuah kerana tidak banyak kawasan yang mempunyai perdana menteri sebagai wakil rakyat.

"Sejak kita merdeka, hanya tujuh kawasan parlimen yang mendapat perdana menteri sebagai anggota parlimen. Kini pengundi Port Dickson mampu catat sejarah.

"Maka kita perlu menyokong penuh Anwar dan memberikan kemenangan besar kepadanya pada 13 Oktober ini (hari mengundi)," katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana DUN Sri Tanjung di Port Dickson, semalam.

Sothinathan yang menang dalam PRK Teluk Kemang pada 2000 menjadi anggota parlimen sehinggalah tewas kepada PKR pada 2008. Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu mengambil keputusan untuk keluar MIC pada Ogos lalu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Port Dickson yang dikenali sebagai destinasi pelancongan mampu dibangunkan setaraf bandar-banda di Lembah Klang.

"Sekarang kita terpaksa ke Kuala Lumpur untuk setiap urusan penting. Selepas saya tamat sekolah, saya perlu ke Kuala Lumpur untuk lanjutkan pelajaran kerana kurangnya institusi pengajian tinggi di sini.

"Saya harap selepas Anwar menang, beliau akan memberi tumpuan khas kepada isu seumpama ini," katanya kepada kira-kira 500 hadirin.

Selain Anwar sendiri, turut hadir di program itu antaranya adalah bekas anggota parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin dan timbalan speaker DUN Negeri Sembilan M Ravi.

Dalam pada itu, Sothinathan berkata penglibatannya dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRK ini tidak bermaksud beliau mahu kembali dalam politik.

"Saya sudah bersara daripada politik. Tetapi mengambil keputusan untuk bersama Anwar demi kepentingan penduduk Port Dickson," katanya lagi.

Anwar kini berdepan enam calon dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen iaitu Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan lima calon Bebas; Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lay Seck Yan, Stevie Chan dan Kee Chee Yuen.

‘Siti Hasmah tiada pilihan, saya hanya bersara usia 95 tahun’

Diterbitkan 1 Okt 2018, 9:34 pagi 


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menerajui tampuk pemerintahan negara pada usia 93 tahun, secara berseloroh menyatakan bahawa umur persaraan baharu beliau ialah 95 tahun

Jenaka beliau itu menerima tepukan gemuruh rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom ini dalam satu perjumpaan dengan beliau di London pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, bahawa beliau berharap akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang telah membelenggu negara walaupun beliau tidak berhajat untuk “duduk lama” dalam jawatan itu.

“Saya berharap saya dapat terus bekerja sehinggalah saya bersara nanti,” kata negarawan ulung itu.

Ketika ditanya sama ada isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali gembira dengan penangguhan persaraan beliau itu, Dr Mahathir berkata beliau (Siti Hasmah) tiada pilihan lain.

“Beliau sangat menyokong saya. Beliau mengikut saya ke mana jua saya pergi,” katanya yang menerima tepukan kuat para hadirin.

Siti Hasmah turut hadir pada majlis itu bersama kira-kira 500 orang rakyat Malaysia lain.

Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai pemimpin paling tua di dunia yang dipilih mengetuai sebuah kerajaan selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum pada Mei lalu.

Menghimbau slogan “Kepimpinan melalui teladan“, Dr Mahathir berkata, beliau telah menjadikan dirinya sebagai teladan dalam bekerja keras.

“Penyakit boleh membunuh anda, pekerjaan tidak. Anda bukan sahaja perlu bersenam untuk menguatkan otot-otot di badan anda, tetapi anda juga perlu membuat senaman minda untuk menguatkan minda anda,” kata beliau.

- Bernama

Hadi soal Anwar: Kenapa tak bertanding di kawasan majoriti Muslim?

Geraldine Tong 
Diterbitkan 1 Okt 2018, 8:36 pagi


PRK PD | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan mengapa presiden PKR itu tidak bertanding di kawasan majoriti Muslim.

"Mengapa dia tidak cukup berani untuk bertanding di kawasan majoriti orang Islam?" soal Hadi dalam ceramah di Teluk Kemang, Port Dickson, semalam.

Beliau berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson, yang secara rasminya bermula 29 September lalu selepas penamaan calon.

Kawasan Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India.

Hadi juga menyifatkan Anwar sebagai seorang yang "tidak konsisten" iaitu dengan menunjukkan sikap berlainan di depan kelompok yang berbeza.
Sebagai contoh, beliau berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika beliau berada di masjid, manakala boleh pula menari ketika bersama masyarakat India.

"Kita ada budaya sendiri. Masyarakat Tamil akan menghormati kita jika kita berpendirian," katanya lagi.

Hadi juga mengkritik PRK Port Dickson itu sendiri, yang diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Katanya, ia adalah satu pilihan raya yang "luar biasa" kerana diadakan untuk seorang yang "mahu jadi perdana menteri Malaysia".

"Wajarkah hanya pengundi Port Dickson yang boleh memilih bakal perdana menteri yang akan memimpin seluruh negara?"

Ia berdasarkan perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan bahawa Anwar akan mengambil alih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

PAS sedia terima 'bantuan ghaib'

MyMetro
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my

ABDUL Hadi berucap di Kampung Teluk Kemang. FOTO Bernama

PAS terbuka menerima mana-mana pihak yang sedia membantu kempen calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata, ia termasuk jika ada ahli UMNO yang membantu walaupun kedua-dua parti itu tidak mempunyai ikatan khusus, malah pemimpin UMNO sendiri tidak akan turun membantu kempen pembangkang.

Ditanya kemungkinan ada ahli atau jentera UMNO membantu kempen PAS secara ‘senyap-senyap’, beliau menjawab: "Ini negara demokrasi dan PAS menerima siapa saja yang menyokong kita tapi ‘perkara ghaib’ (bantuan senyap-senyap UMNO) saya tak tahulah. "UMNO tak benarkan ahli dia bantu (kempen PAS) tapi mungkin ada ahlinya yang undi calon kita," katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana PAS sempena kempen PRK Parlimen Port Dickson di Teluk Kemang, Port Dickson, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS, Syahir Sulaiman dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

UMNO memutuskan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan berpendirian tidak menyokong atau membantu mana-mana calon pembangkang atau Bebas yang bertanding.

Hadi turut menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak konsisten dalam mempertahankan jati diri sebagai seorang Islam.

"Bila di masjid, beliau menjadi imam tetapi apabila berada di kuil, beliau berpakaian dan menari bersama penganut agama lain.

"Memang ada kebebasan beragama tetapi biarlah konsisten dengan agama sendiri," katanya.

Hadi berkata, masyarakat India dan Cina atau kaum apa sekalipun akan menghormati Islam jika penganutnya memiliki jati diri tinggi.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Anwar dan Mohd Nazari serta lima calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:21 AM

Ahli lebih jelas hala tuju Umno selepas PAU 2018

Faiz Zainudin
-October 1, 2018 12:23 AM

Perhimpunan Agung Umno ke-72 tidak semeriah dahulu, tetapi pemimpin berjaya menyampaikan mesej penting kepada akar umbi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Walaupun Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-72 selama 3 hari tidak semeriah dahulu, tetapi pucuk pimpinannya berjaya menyampaikan mesej berguna kepada akar umbi untuk bersama memulihkan parti itu.

Ahli Umno kini jelas tentang hala tuju parti, selepas kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kini hanya memiliki 49 kerusi Parlimen.

Perwakilan dari Kuala Nerus di Terengganu, Zamzaini Zolkeffi berkata, PAU 2018 merungkai segala persoalan yang timbul selepas kekalahan Umno dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

“Ahli sudah jelas hala tuju parti selepas pasca kekalahan PRU14, sebelum ini kita tertanya-tanya.

“Semalam presiden sudah jelaskan 7 teras dan 21 langkah. Jadi, ahli sudah jelas apa yang perlu kita buat, sekarang bertenang dan taat kepada apa yang dirangka pucuk pimpinan,” katanya kepada FMT.
Perwakilan Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid.
Perwakilan Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetengahkan idea dan nafas baru dalam ucapan pertamanya sebagai presiden.

“Beberapa langkah seperti had jawatan presiden kepada 2 penggal, tubuh sekolah politik untuk memantapkan ahli Umno ke arah perjuangan lebih menjurus kepada kepimpinan bersatu padu.”

Seorang perwakilan Johor yang enggan dikenali, menolak cadangan menurunkan had umur keahlian Umno daripada 18 tahun kepada 16 tahun kerana mereka tidak matang berpolitik di usia muda.

Beliau berkata, Umno juga tidak perlu mengikut parti lawan menubuhkan sekolah politik yang dilaksanakan DAP sekian lama.

Katanya, masih ada cadangan diketengahkan Zahid yang membawa banyak manfaat untuk memulihkan parti.

Zahid dalam ucapan dasarnya pada Sabtu menyentuh 7 teras dan 21 langkah untuk mengembalikan kekuatan Umno bagi menghadapi kerajaan Pakatan Harapan.

Antara rancangan itu ialah penjenamaan semula BN yang terdiri daripada 5 parti komponen dan membenarkan keahlian langsung daripada individu.

Katanya, BN juga sedia bekerjasama dengan NGO dan parti politik lain yang berkongsi perjuangan sama.

Di akhir PAU 2018 hari ini, lagu nasyid berjudul teman sejati menggantikan lagu Warisan (Anak kecil main api) yang dimainkan setiap tahun, selain laungan “hidup Umno” dan “hidup Melayu” juga tidak kedengaran lagi.

RON97 naik 14 sen

Oleh Magendran Rajagopal
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Harga runcit minyak petrol RON97 naik 14 sen seliter daripada RM2.65 pada bulan September kepada RM2.79 bagi tempoh 1 Oktober 2018 hingga 31 Oktober ini.

Sementara itu, harga petroleum RON95 dan diesel dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter, berdasarkan paparan rasmi di laman Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selepas menerajui pemerintahan negara susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memperuntukkan RM3 bilion sehingga hujung tahun ini bagi menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel.

Ia selaras dengan manifesto PRU-14 PH yang antara lain berjanji untuk menstabilkan harga bahan api di pasaran tempatan dengan menanggung subsidi bagi mengekalkan harga runcit petrol dan diesel dalam tempoh 100 hari selepas berkuasa.

Susulan itu, harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter manakala harga RON97 diapungkan secara apungan terurus sama seperti dilaksanakan pentadbiran terdahulu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-