Friday, April 19, 2024

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau mohon maaf, mengaku buang beras

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-19 Apr 2024, 12:14 PM

Ismail Mohamed Said berkata beras, sardin dan tepung yang rosak itu dibeli untuk diberikan kepada orang ramai ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.
Gambar tular beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri dalam negeri Ismail Mohamed Said meminta maaf dan mengakui kesilapan melupuskan puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh.

Mengulas penularan isu itu di media sosial, Ismail mengakui bertanggungjawab atas perkara berkenaan dan menjelaskan semuanya adalah stok simpanan untuk diberikan kepada orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Ketua Umno Kuala Krau yang kalah pada PRU15 turut menjelaskan barangan dapur terbabit yang kini sudah rosak dibeli sebelum pilihan raya menggunakan peruntukan peribadi dan tiada sebarang pemberian kepada orang awam ketika kempen.

Katanya, tiada dana kerajaan pusat dan negeri digunakan selain ia tidak termasuk dalam peruntukan menyediakan keperluan ketika Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

Ismail menjelaskan, pada 5 April lalu beliau menerima aduan daripada jiran menyatakan ada bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut dan pemeriksaan mendapati ada beberapa bangkai tikus manakala beras dicemari bubuk/kutu.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebahagian beras itu diserahkan kepada penternak ayam dan itik di sekitar manakala bakinya dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab, menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, dalam hantaran di X memaklumkan kenyataan media rasmi akan dikeluarkan berhubung penularan kes berkenaan.

“Saya telah arah siasatan segera oleh Kawalselia Padi dan Beras Temerloh berkaitan insiden timbunan beras dibuang di kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-