Friday, August 14, 2015

'Permainan dan spekulasi keterlaluan punca ringgit jatuh'

Najib berkata, jangkaan bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah, membuatkan ramai pelabur di seluruh dunia bertindak memindahkan dana mereka ke dalam mata wang Amerika. - Foto arkib TRP

KUALA LUMPUR, 13 Ogos:

Permainan dan spekulasi politik keterlaluan, sehingga menimbulkan sentimen tidak menentu terhadap pentadbiran negara, antara punca kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

Selain faktor itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui catatan terbaru dalam laman blognya hari ini berkata, negara turut berdepan faktor luaran dan cabaran dalaman, termasuk lakaran negatif pihak tertentu terhadap keadaan ekonomi negara.

Tambahan, katanya, tindakan Beijing menurunkan mata wang yuan turut menyebabkan kejatuhan mata wang negara Asean, selain penurunan harga komoditi seperti minyak, minyak sawit dan getah secara mendadak juga adalah punca kejatuhan ringgit, lebih-lebih lagi kerana Malaysia adalah pengeluar komoditi-komoditi tersebut.

Jelasnya, jangkaan bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah, membuatkan ramai pelabur di seluruh dunia bertindak memindahkan dana mereka ke dalam mata wang Amerika.

Meskipun begitu, jelasnya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini mengumumkan, ekonomi negara berkembang sederhana sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015, berbanding 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Saya memberi jaminan kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk menangani keadaan ini, dengan tujuan untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara,” demikian tulisnya.

Ringgit susut kembali ke tahap 4.00, selepas menyentuh 3.99 untuk sebentar sahaja pada awal dagangan hari ini.

Pada jam 5 petang tadi, mata wang tempatan itu disebut harga pada 4.0080/0130 berbanding dolar US yang merekodkan 4.0375/0415 semalam

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/13/permainan-dan-spekulasi-keterlaluan-punca-ringgit-jatuh-najib/#ixzz3ii0xdpFH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-