Showing posts with label Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Show all posts

Thursday, October 12, 2017

Mahkamah arah PM, isteri fail pembelaan


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan pembelaan mereka dalam tempoh 14 hari dalam kes saman oleh balu dan tiga anak mendiang penyiasat persendirian (PI) Bala Subramaniam.

Kes saman itu berhubung dakwaan keluarga PI Bala mereka mengalami kerugian dan hilang pendapatan susulan hidup dalam buangan di India antara 2008 hingga awal 2013.

Hakim Datuk Hue Sue Kheng menetapkan demikian selepas menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pembelaan berkenaan ketika kes itu disebut semalam.

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili plaintif memaklumkan, mahkamah menolak permohonan penangguhan tersebut atas alasan tiada keadaan khas (special circumstances) untuk membenarkan permohonan itu.

“Pihak kami juga berhujah mengenai hak untuk plaintif mendapatkan keadilan.

“Sekiranya penangguhan dibenarkan, plaintif tidak mendapat hak yang sah di sisi undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah telah menetapkan 1 November depan untuk defendan memfailkan pembelaannya selain menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes.

Pada Julai lalu, Santamil Selvi dan tiga anaknya memfailkan saman dan pernyataan tuntutan terhadap Najib, Rosmah dan lapan yang lain dengan mendakwa mereka berkonspirasi menyebabkan keluarga itu berpindah ke negara lain.

Mereka memfailkan saman sebanyak RM1 juta sebagai ganti rugi kehilangan pendapatan dengan mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India akibat penarikan balik akuan berkanun.

Sementara itu, pada Ogos lepas, Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu sebelum mereka memfailkan permohonan bagi menangguhkan pembelaan pada 6 September lalu.

Antara alasan bagi permohonan tersebut adalah isteri dan anak-anak si mati tidak mempunyai kausa tindakan untuk memulakan tuntutan terhadap mereka berdua.

Selain itu, tuntutan tersebut juga dianggap mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

- Sinar Harian

Tuesday, October 3, 2017

Berita gembira untuk penjawat awam dalam bajet 2018


Foto: NSTP

PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Okt ini.

"Saya faham, ramai yang ternanti-nanti akan pengumuman-pengumuman tertentu," kata Najib yang juga Menteri Kewangan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-15 di sini hari ini.

Kenyataan Najib itu disambut tepukan gemuruh lebih 5,000 penjawat awam yang menghadiri acara tahunan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada acara itu, perdana menteri menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, kerajaan tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

- Bernama

Sunday, September 24, 2017

'Bukan semua pemimpin mampu buat seperti PM'

AZIZAH SHAFIEI
24 SEPTEMBER 2017
Shamsul Anuar dan Ismail Sabri bersama masyarakat setempat serta lima pelajar Tahun 1 yang menerima replika SSPNi sebagai simbolik penyerahan bantuan itu kepada 300 pelajar dari enam cawangan Umno dalam kawasan Parlimen Bera.

BERA - Pendekatan membantu rakyat secara menyeluruh tidak mampu dilakukan oleh semua pemimpin sebagaimana dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, program Umno Bantu Rakyat 2.0 adalah antara program yang berkesan secara berterusan kepada golongan sasaran yang dilaksanakan oleh kerajaan BN.

"Ada orang cakap sesiapa memerintah pun boleh buat program macam ini, namun sebagai contoh, insentif kepada pekebun kecil getah sebanyak RM200 sebulan yang dilaksanakan oleh PM sekarang tiada semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohammad.

"Jadi bukan semua pemimpin boleh lakukan seperti Datuk Seri Najib dan program ini adalah usaha memperkasakan lagi bantuan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Umno Bantu Rakyat 2.0 Parlimen Bera di Sekolah Kebangsaan Dato' Seri Hamzah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Parlimen Bera menjadi lokasi ketiga pelancaran Program Umno Bantu rakyat selepas daerah Bentong dan juga Cameron Highlands di Pahang.

Sunday, September 17, 2017

Muhammad Taib kembali dalam UMNO selepas lima tahun

Muhammad Taib (tengah) bergambar bersama Najib (dua dari kiri) selepas sidang media khas yang diadakan hari ini.

KUALA LUMPUR - Selepas lima tahun meninggalkan UMNO, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib kembali menyertai parti itu dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat.

Pengumuman penyertaan semula beliau dalam UMNO dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang akhbar khas di Tingkat 39, Ibu Pejabat UMNO di sini sebentar tadi.

Kemunculan Muhammad pada sidang akhbar tersebut mendapat tepukan gemuruh Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang turut hadir.

Thursday, August 31, 2017

Sambutan di Dataran Merdeka meriah


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara di Dataran Merdeka disambut meriah apabila kira-kira 200,000 pengunjung hadir sejak pukul 5 pagi tadi.

Acara dimulakan pada pukul 8 pagi dengan Kawalan Kehormat Utama daripada Angkatan Tentera Darat Malaysia yang disertai kira-kira 100 orang anggota.

Yang turut hadir Yang Dipertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V , Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sambutan-di-dataran-merdeka-meriah-1.521164#ixzz4rIEaNz26
© Utusan Melayu (M) Bhd

Saturday, August 19, 2017

Najib: Beri peluang kepada pemimpin seterusnya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta pemimpin terdahulu supaya mengingati konsep ‘putaran roda’, dengan memberi peluang kepada pemimpin seterusnya untuk menyambung perjuangan mengikut cara tersendiri.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, pemimpin sedia ada sepatutnya diberi kepercayaan untuk meneruskan perjalanan dan legasi sebelum ini memandangkan perjuangan berasaskan idealisme tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Sebab dalam hidup kita ada putaran roda... satu hari kita akan turun dan bila turun kita sokong pula orang naik barulah perjuangan kita kesampaian dan kepimpinan kita dapat barakah sebab orang akan menghargai (dan) menilai jasa dan legasi kita.

“Ini barulah konsep kepemimpinan... bukan bila kita tak ada jawatan kita nak jahanamkan, nak kutuk, nak lihat parti yang terlalu banyak jasa pada kita, tertiarap. Ini bukan perangai orang yang sayang Umno...,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Langkawi di Langkawi hari ini yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan. Turut hadir Ketua Umno, bahagian Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Perdana menteri berkata, beliau sendiri meneruskan legasi dan perjuangan lima perdana menteri terdahulu dengan melakukan 'tambah nilai' kepada setiap asas perjuangan tersebut, bukannya menjahanamkan apa yang telah dibina selama ini.

"Saya masih ingat dan saya tidak mudah lupa.. saya tidak mudah lupa.. saya masih ingat seorang pemimpin itu berkata, kalau kita tiada jawatan kita perlu sokong orang baru sebab bila kita jadi pemimpin orang lain pula sokong kita, sebab itu kita berjaya," katanya.

Namun, katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila pemimpin berkenaan dlihat cuba menghancurkan parti keramat Umno yang sudah pun berusia 71 tahun itu.

"Kalau dulu lawan sekarang kawan, dulu kawan sekarang lawan... ini apa... ini bukannya prinsip moral dalam politik, ini politik kerana marah, kecewa dan lupa asas dan nilai perjuangan," katanya.

Katanya sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana pemimpin terdahulu yang meninggalkan Umno, akhirnya akan menyedari bahawa mereka tidak kuat tanpa parti itu, seolah-olah ada sesuatu yang hilang dalam diri mereka.

[Berita lanjut menyusul]

- Bernama

Tuesday, August 8, 2017

Mahkamah London sahkan tiada bukti Najib korup

AIDCNEWS
Malaysian Digest – Sewaktu prosiding saman PAS terhadap Clare Rewcastle Brown di London, mahkamah mendapati tiada bukti untuk menyokong dakwaan pengendali blog Sarawak Report itu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membayar rasuah RM90 juta kepada parti teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahkamah juga menolak hujah Clare meminta Hadi mendepositkan wang RM4.5 juta (£800,000) sebagai jaminan untuk membayar kos guaman sekiranya PAS kalah didalam prosiding saman berkenaan.

Ekoran itu, mahkamah bersetuju dengan peruntukan deposit keselamatan RM80,000 oleh Presiden PAS diatas dasar Clare gagal menunjukkan bukti bahawa badan kehakiman, kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan Abdul Hadi.

“Mahkamah London juga mendapati tuduhan serius itu tidak disokong bukti oleh Clare walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian,” kata Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Mahkamah juga tidak menerima hujah Clare tanpa membawa bukti bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.”

Sehubungan itu kata Ahmad Samsuri, Clare diarahkan membayar dua pertiga daripada kos guaman Abdul Hadi iaitu £15,000 (RM84,000).

“Mahkamah London juga mengarahkan Clare untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih. Permohonan rayuan Clare terhadap keputusan itu juga telah tidak dbenarkan oleh Mahkamah London,” katanya.

Presiden PAS diwakili oleh peguam dari firma Carter Ruck dan Barrster Jacob Dewan.

Ahmad Samsuri melihat keputusan mahkamah sebagai perkembangan positif untuk membersihkan nama Presiden PAS daripada fitnah Sarawak Report.

“Presiden PAS juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia oleh Clare dalam dokumen beliau yang dikemukakan ke mahkamah,” tulis Ahmad Samsuri didalam satu kenyataan.

Sarawak Report yang dikendalikan oleh Clare sebelum ini menerbitkan artikel menuduh PAS menerima rasuah RM90 juta daripada Najib.

Ironinya atrikel itu diterbitkan sejurus PAS menolak pelawaan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama.

Tuduhan Sarawak Report itu kemudian dicanang oleh pemimpin dan penyokong PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) di media sosial bagi memburuk-burukkan PAS dan Najib.

Friday, August 4, 2017

Jangan marah......pasti ada yang tak syok tengok gambar ini

 BY WARTAWAN AGENDADAILY

Selalu sangat orang guna kata-kata ini : 'A picture is worth a thousand words'.Ini kerana gambar boleh bagi segala macam cerita.

Kita boleh agak dalam senario politik terkini pasti ada puak cukup tidak syok gambar suasana mesra begini.

Tentu ramai yang sedang teropong pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi sekarang.

Ini gambar terbaru...sewaktu mereka bersama-sama menghadiri Majlis Perdana Ulama Umara dan NGO Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsan di Putrajaya pagi Khamis.

Apa tidaknya…bagai guruh berdentum di langit dakyah disebar konon Zahid ada nawaitu nak jatuhkan Najib.

Lebih sensasi beliau didakwa jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sejurus dilantik Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 untuk mohon bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menjayakan cita-citanya.

Jalan cerita itu sendiri tidak ada lojiknya.

Dengar khabar ramai yang tertawa mendengar dongeng terbaru ini.

Namun kilang dakyah puak itu sedang kerja overtime untuk jual cerita mereka di sana sini.

Jangan marah dan hilang akal kalau Zahid dan Najib terus tersenyum.

Monday, July 31, 2017

Tiga ciri politik hebat ada pada Umno, Najib

NOR KHALILAH GUSTI HASSAN
30 JULAI 2017
Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Maran di perkarangan Dewan Pekan Tajau hari ini. - Foto Bernama

MARAN - Parti politik yang hebat perlu mempunyai falsafah, ideologi dan tunjang perjuangan yang jelas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Umno sememangnya mempunyai ketiga tiga ciri tersebut yang amat jelas dan dapat disaksikan sekian lama.

Menurutnya, parti itu wujud sejak 1946 dan bertahan selama 71 tahun dengan tempoh 60 tahun memegang tampuk pentadbiran serta pemerintahan.

“Selama 60 tahun ini Umno tak pernah tergelincir dari memegang tampuk pemerintahan. Itu adalah rekod yang membanggakan parti. Kalau pembangkang cuba ambil alih tampuk pemerintahan negara apakah parti-parti itu jelas akan falsafah, ideologi dan’substance’ perjuangannya?

“Tak mungkin parti yang mempunyai tiga nakhoda mempunyai ketiga-tiga tersebut. Nak pilih Perdana Menteri pun tak tahu siapa. Ada pula istilah interim Perdana Menteri.

"Kita nak beli online pun kita nak tengok pelbagai segi, inikan pula nak pilih pemimpin negara. Kita nak tahu siapa pemimpin baru, dah tahu baharulah boleh buat keputusan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Maran di Dewan Umno Pekan Tajau di sini, hari ini.

Najib berkata, Umno dalam pemerintahannya mempertahankan agama, memperkenalkan kecemerlangan negara ke persada antarabangsa dan berjaya dari segi perkembangan ekonomi.

"Ekonomi negara berkembang kepada 5.6 peratus suku pertama tahun ini, meskipun harga minyak merudum. Namun Malaysia masih mampu meneruskan proses pembangunan dalam negara.

"Menang ada peruntukan yang kita kena ‘cut off’ sebab nak jaga perbelanjaan negara. Tetapi kebanyakannya diteruskan dengan kejayaan perlaksanaan GST. Tanpa GST tak mungkin ekonomi boleh bertahan," katanya.

Beliau berkata, rakyat seharusnya bijak menilai bahawa apabila ekonomi meningkat, maka hasil negara meningkat yang mana sekali gus boleh diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar.

"Kalau tak ada hasil negara macam mana kita nak pertimbangkan (peruntukan luar bandar). Pokoknya teori ekonomi mesti faham. Projek MRT yang diumumkan serta projek ECRL yang akan saya lancarkan pada bulan Ogos nanti contohnya, akan menjana pendapatan dan peluang pekerjaan ramai anak-anak tempatan.

"Saya akan melancarkan East Cost Rel (Ecrl) akan melalui Maran, Kuantan, Temerloh, sampai ke Kelantan. Kejayaan projek ini akan mengalirkan hasil kepada anak-anak dan penduduk tempatan juga. Ribuan rakyat bakal peroleh pekerjaan.

"Seramai 130,000 anak muda bakal mendapat peluang pekerjaan dalam projek MRT di Kuala Lipis,” katanya.

Najib berkata, setiap November, Disember dan Januari pula pekebun kecil dapat bantuan musim tengkujuh. Semua itu hasil negara yang disalurkan semula kepada rakyat.

Saturday, July 29, 2017

Pastikan Kelantan milik BN

Rosmizan Resdi
28 Julai 2017 8:11 PM

Mustapa Mohamed (tengah) bersama Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) bersalaman dengan orang ramai pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jeli di Pondok Moden, Jeli hari ini. - UTUSAN ONLINE

JELI 28 Julai -Seluruh jentera parti perlu sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras bagi memastikan Kelantan menjadi milik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga tekad memastikan Parlimen Jeli yang disandangnya kini kekal menjadi antara kubu terkuat UMNO dan BN.

"Bangkitlah wanita, pemuda dan puteri untuk bersama dengan saya bagi menegakkan BN di Jeli dan Kelantan.

"Kita tidak akan sesekali berundur tetapi akan teruskan perjuangan untuk parti supaya negara kekal selamat dan aman.

"Kita di bawah akar umbi akan sentiasa menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menentang habis-habisan musuh-musuh kita," kata Mustapa yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jeli di sini hari ini.

Perasmian persidangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Monday, July 24, 2017

Peneroka Felda sangkal dakwaan banyak berhutang

Bernama

Peneroka menjelaskan ia sebenarnya pinjaman sara hidup kerana peneroka perlu tunggu 3 tahun untuk mendapat hasil tanaman.
PUTRAJAYA: Warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menzahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan insentif khas dalam membantu kebajikan dan kesejahteraan komuniti itu.

Ketua Peneroka Felda Samsudin Othman berkata insentif jangka pendek, sederhana dan panjang itu merupakan berita gembira untuk kesemua 112,635 peneroka di 317 rancangan di seluruh negara yang akan meringankan bebanan sekali gus insentif pelupusan hutang memberi kelegaan kepada peneroka.

“Kami warga Felda berasa syukur dan berterima kasih kepada perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Pada sambutan Hari Peneroka peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Mengulas dakwaan peneroka Felda banyak berhutang dalam pelbagai jenis pinjaman, Samsudin yang menyangkal dakwaan itu berkata hutang yang ditanggung peneroka termasuk pinjaman sara hidup di antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi membantu mereka yang menjalankan projek tanaman sawit bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Kerajaan baik hati mendahulukan pinjaman sara hidup. Kalau kerajaan tidak bagi pinjaman, peneroka kena tunggu sampai 3 tahun baru mendapat hasil. Jumlah inilah yang menyebabkan hutang peneroka mencecah RM80,000. Ini adalah hutang ciptaan peneroka sendiri. Felda tidak mengalakkan polisi berhutang sebaliknya mereka yang tidak mahu mendapatkan pinjaman sara hidup, itu lagi baik,” katanya.

Mohammad Zainal Mohd Yusof, 61, dari Felda Palong, Negeri Sembilan berkata ia menggambarkan komitmen dan keikhlasan perdana menteri yang sentiasa mempertimbangkan kebajikan masyarakat peneroka walaupun tidak diminta oleh mereka.

“Inilah kali pertama kami mendapat enam insentif sekali gus. Saya amat bersyukur dengan pengumuman hari ini. Kami sentiasa setia bersama kerajaan kerana mereka sentiasa mempertimbangkan kebajikan kami. Saya juga gembira dapat raikan sambutan hari jadi perdana menteri di sini,” kata pesara tentera itu, sambil menambah Felda sentiasa memberikan pulangan lumayan kepada para peneroka.

Bagi Halimah Awang, 58, dari Felda Soeharto, Selangor, beliau sangat bersyukur dengan tanda ingatan kerajaan kepada rakyat yang setia dengan Felda dan sentiasa mendapat manfaat dalam pelbagai bentuk.

“Saya sangat sayangkan Felda yang banyak berjasa kepada peneroka. Kami berharap generasi Felda kini akan menjaga Felda dengan baik sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Asmawi Ani atau lebih popular dikenali sebagai Mawi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor berkata kerajaan dari dulu sehingga sekarang sentiasa mengutamakan kebajikan warga peneroka Felda dengan memberikan segala bentuk insentif dan kemudahan sejak 1956.

“Lihatlah sendiri peningkatan positif sehingga hari ini. Kita perlu bersyukur apa yang sudah ada dan jaga elok-elok. Generasi muda khususnya jangan hanya dengar cerita negatif mengenai Felda dan cepat terpengaruh. Kena periksa dulu. Itu yang paling penting.

“Jadi, bila dah diterapkan dari kecil konsep bersyukur itu, segala apa yang saya dapat, saya amat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Pelakon Abdul Jalil Hamid yang merupakan anak jati Felda Cahaya Baru, Masai, Johor melihat pemberian insentif sebagai tanda kerajaan di bawah kepimpinan Najib mengambil berat serta sentiasa berusaha memakmurkan negara serta rakyat.

“Inilah keistimewaan kerajaan membantu warga Felda. Ada kala, hidup peneroka bergantung kepada komoditi sawit. Ada waktu meningkat, atau tidak. Saya pun anak jati Felda dan tahun-tahun kehidupan di Felda. Ada mereka buat rumah sendiri pun tak mampu. Ini adalah satu kesyukuran besar dari kerajaan,” katanya.

Thursday, July 20, 2017

Najib digelar bapa pengangkutan awam

 Send by Email

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh digelar sebagai Bapa Sistem Pengangkutan Awam kerana hasil kejayaan beliau menggerakkan serta memperbaiki sistem pengangkutan awam di negara kita.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada Oriental Daily.

“Projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer dijangka beri manfaat kepada 150,000 penumpang setiap hari. Ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan kadar pengurangan 160,000 kenderaan memasuki bandar setiap hari,” kata Tiong Lai.

Menurut beliau, sehingga hari ini, fasa satu MRT Sungai Buloh ke Semantan mencatatkan dua juta penumpang sejak ia mula beroperasi pada Disember tahun lepas.

“Saya yakin jumlah penumpang yang menggunakan MRT ini akan meningkat selepas fasa kedua ini memulakan perkhidmatannya.

“Negara kita kini memiliki empat laluan pengangkutan awam yang baik seperti Monorel, Transit Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter dan MRT dan ditambahkan pula Kereta Api Berkelajuan Tinggi ( Kuala Lumpur-Singapura) yang dijangka siap pada tahun 2026 serta kereta api pantai timur.

“Selain itu, rakyat turut menikmati perkhidmatan bas percuma Go KL, Sunway Bus Rapid Transit (BRT), Projek Tambahan LRT dan LRT3 pada masa depan serta jajaran kedua MRT, ia sesungguhnya dapat menggerakkan pembangunan ekonomi negara,” kata Tiong Lai. – Sinar Harian

Read more http://www.kualalumpurpost.net/najib-digelar-bapa-pengangkutan-awam/

Wednesday, July 19, 2017

Kerajaan kaji status bumiputera masyarakat India Muslim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada tetamu yang hadir sebaik sahaja hadir di Majlis Sambutan Hari Raya dan Hari Keluarga NGO-NGO India Muslim di MAEPS, Serdang, di sini hari ini. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

Safina Ramli
18 Julai 2017 11:32 PM

KUALA LUMPUR 18 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia mengkaji tuntutan masyarakat India Muslim untuk menjadikan status mereka sebagai bumiputera di negara ini.

Najib berkata, suara masyarakat India Muslim sentiasa didengari oleh kerajaan memandangkan sumbangan mereka kepada pembangunan negara ini amat besar.

“Saya dengar tuntutan yang dibuat oleh masyarakat India Muslim dan saya terima bahawa India Muslim adalah sebagai bumiputera.

“Soalanya sekarang bagaimana untuk dilaksanakan, kita akan kaji lebih men dalam, dari segi pentadbiran atau dikendalikan melalui pewartaan. Hakikatnya tuan dan puan adalah bumiputera,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya dan Hari Keluarga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim Semalaysia yang berlangsung di Dewan A, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketibaan beliau disambut meriah oleh kira-kira 15,000 masyarakat India Muslim yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Perdana Menteri, sokongan masyarakat India Muslim kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) juga terus kukuh sejak dahulu malah beliau berharap sokongan berkenaan akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

“Saya diberitahu bahawa generasi baharu India Muslim sudah ramai yang beralih daripada bidang tradisi kepada bidang profesional dan ada yang bekerja sebagai akauntan, peguam dan sebagainya.

“Meskipun telah melalui perubahan tetapi masyarakat India Muslim tetap tidak berubah sokongan mereka kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, masyarakat India Muslim terus memberi sumbangan kepada masyarakat apabila PRESMA bersetuju untuk memberikan diskaun kepada golongan orang kurang upaya (OKU), siswazah dan pemegang kad pengguna Friends of Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di semua premis perniagaan PRESMA.

Najib berkata, golongan OKU akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus, siswazah pula sebanyak 10 peratus manakala pemegang kad pengguna (Friends of KPDNKK) akan menikmati diskaun sebanyak 5 peratus.

“Ini sumbangan yang diberikan oleh PRESMA kepada masyarakat kita dan saya berharap hubungan ini akan berterusan,” ujarnya.

Monday, July 17, 2017

Tun M kena jawab benarkah Anwar lakukan perbuatan luar tabii


KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Banyak persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr. Mahathir masih kekal dengan kenyataan lamanya pada 1998 yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii.

“Sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin yang tidak ada maruah, oleh itu tidak boleh memimpin negara.

“Semua itu kini menjadi persoalan besar rakyat, sama ada tuduhan itu tidak betul pada asalnya, ataupun beliau sanggup korbankan prinsip lamanya (demi politik), “ katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam sidang media pada 22 Sept 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

Najib menjelaskan, selagi semua itu tidak dijawab Dr Mahathir, orang ramai akan sangsi dan bahawa ini adalah hanya mainan dan sandiwara politik yang tiada keikhlasan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, walaupun ada segelintir pihak yang tidak senang hati dengan UMNO dan kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk membawa negara ke tahap yang membanggakan.

Jelasnya, situasi ini adalah lebih baik berbanding kem pembangkang yang masih tidak jelas dan kelam- kabut dalam menentukan siapa yang mempunyai kuasa penentu manakala hala tuju politik yang masih tidak jelas.

Mengenai sambutan Rumah Terbuka hari ini, Najib yang juga presiden UMNO berkata sambutan luar biasa daripada masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan adalah satu tanda keyakinan berterusan kepada parti dan kerajaan.

“Mereka datang berpusu-pusu dari pagi dan ingin bersama UMNO. Satu gambaran jelas hubungan parti dan rakyat yang tiada tembok pemisah.

“Ini kerana mereka tahu mereka boleh bersalam-salaman, berselfie dengan pemimpin UMNO. Sebagai pemimpin, kita ingin lebih rapat dan mesra dengan rakyat,” katanya

- Bernama

Saturday, July 15, 2017

Kerajaan sedih dituduh zalim

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 JULAI 2017
Najib
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pembangkang berhenti melemparkan tuduhan kepada kerajaan tanpa sebarang bukti.

Beliau berkata, kerajaan sedih pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar, malah menuduh kerajaan zalim dan mengabaikan negeri pembangkang.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk semua negeri setiap tahun, termasuk negeri diperintah pembangkang.

"Dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain.

“Malah jumlah pemberian ini meningkat setiap tahun. Pada 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion,” katanya menerusi catatan di laman blognya, www.najibrazak.com, semalam.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang sering mengutarakan isu yang dikitar semula termasuk menuduh Kerajaan Pusat mengabaikan negeri pembangkang iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, walaupun kerajaan telah berkali-kali menjawabnya.

“Malah baru-baru ini, bekas Menteri Besar Kedah menuduh kerajaan pusat mengabaikan Kedah sedangkan ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Najib menjelaskan daripada 2011 hingga 2015, Kelantan menerima kira-kira RM1.94 bilion termasuk peruntukan RM378.85 juta disebabkan kekurangan akaun mengurus, diikuti Pulau Pinang yang menerima RM950.44 juta untuk tempoh sama.

Menurutnya, Selangor pula menerima RM3.63 bilion termasuk pemberian khas sebanyak RM25.81 juta setiap tahun.

Najib menjelaskan, jumlah berkenaan tidak termasuk projek kerajaan Persekutuan yang bernilai berbilion-bilion ringgit di negeri-negeri tersebut seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya, rumah mampu milik, projek perumahan rakyat, pejabat polis dan projek lain.

"Kita (kerajaan) sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia tidak kira di negeri pembangkang atau negeri yang ditadbir BN,” katanya.

Tuesday, May 30, 2017

Umat Islam perlu tolak segala fahaman ekstrem yang bawa kerosakan - Najib

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Umat Islam di negara ini perlu menolak segala kefahaman ekstrem yang membawa kepada kerosakan seperti memusuhi antara satu sama lain atau mengambil nyawa sendiri atas nama Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kepada kejadian pengeboman bunuh diri di Manchester, England dan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan di Marawi, Mindanao yang melibatkan rakyat Malaysia baru-baru ini, beliau menyorot antara tunggak Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa sendiri dan orang lain.

"Jangan kita lupa, salah satu daripada lima perkara Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa, bukan untuk kita membunuh diri kita atau membunuh orang lain.

"Nyawa itu bukan milik kita tetapi milik Allah S.W.T sahaja yang menentukan hendak mencabut nyawa kita atau memanjangkan nyawa kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama para ulama, umarak dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasminya Seri Perdana di sini malam ini.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut menekankan betapa pentingnya umat Islam untuk bersatu padu dalam memartabatkan Islam dan menjamin masa depan ummah.

Katanya penyatuan merupakan asas untuk mencapai segala impian dan cita-cita murni yang mulia kerana agenda memartabatkan Islam tidak mampu dipikul oleh kerajaan sahaja.

"Sekiranya berdepan dengan musuh yang besatu padu dan ada strategi licik tetapi kita sendiri pulau memulau antara satu sama lain, kita mengenepikan antara satu sama lain dan tidak mencari jalan penyatuan, nescaya kita akan tewas kepada musuh Islam," katanya.

"Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah umat Islam dan kerajaan sahaja tidak boleh memenuhi agenda Islam melainkan NGO-NGO sebagai rakan kongsi kerajaan yang berjuang kerana Allah S.W.T, maka penyatuan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai cita-cita murni kita," katanya.

Beliau turut menekankan betapa perlunya golongan ulama dan umarak untuk terus berjuang dengan kejujuran dan memimpin atas sifat adil dan amanah untuk terus memartabatkan Islam dan demi kepentingan ummah.

"Mengikut hadis Rasulullah S.A.W, dua golongan ini (ulama dan umarak) kalau baik, baiklah, kalau tidak baik maka rosak segalanya," katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama 1,500 jemputan termasuk golongan asnaf dan anak yatim.

Selesai iftar, Najib dan para tetamu menunaikan solat Isyak disusuli solat sunat Tarawih.

Perdana menteri turut menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz Al-Quran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) berjumlah RM803,205 kepada 319 huffaz Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 90 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin, Klang, Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor dan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim/Miskin Rukaiyah, Kajang.

-- BERNAMA

Monday, May 29, 2017

2,000 hadir majlis berbuka puasa rumah PM

29 MEI: Seramai 2,000 orang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Acara tahunan itu disertai barisan kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Duta serta para pemimpin kanan kerajaan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Dalam majlis berkenaan, Najib serta isteri berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 75 orang anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bangi, Rumah Anak Yatim Al -Fateh, Kajang dan Maahad Tahfiz Az Zean, Sungai Buloh.

Sejurus acara berbuka puasa, beliau menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat Tarawikh secara berjemaah dengan para hadirin.

Tuesday, April 18, 2017

Pelantikan Hishammuddin bukan tujuan peralihan kuasa

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 APRIL 2017
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
SHAH ALAM - Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri bukannya bertujuan untuk peralihan kuasa namun bagi memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal berkuasa.

Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, penasihat-penasihat perdana menteri hanya berada di luar kerangka pejabat dan tidak pernah mengangkat sumpah jawatan.

“Oleh itu, mereka tidak pernah rasa bertanggungjawab kepada negara.

“Ini juga satu daripada jenayah kerana memberikan kuasa dan akses hal negara kepada orang yang tidak mengangkat sumpah jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, perdana menteri mengumumkan mengenai pelantikan Hishammuddin tersebut dan beliau masih mengekalkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Ezam berkata, matlamat utama pihak terbabit adalah bagi memastikan Najib terus berkuasa.

“Inilah juga sebabnya Najib masih mahu terus kekal berkuasa walaupun negara semakin mendekati jurang kehancuran.

“Beliau dikelilingi manusia-manusia yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Ezam berkata, rakan-rakan seperjuangan tidak seharusnya terpengaruh dan terperangkap dengan tindakan tersebut dan kembali fokus kepada perjuangan membebaskan negara daripada belenggu rasuah.

Sunday, April 16, 2017

Jentera BN di setiap negeri sudah digerakkan

Hakimi Ismail
16 April 2017
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan sijil penghargaan kepada murid terbaik SPM 2016 murid sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Mohd Aiman Mat Sukor antara murid terbaik keseluruhan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

PUTRAJAYA 16 April- Jentera Barisan Nasional (BN) di setiap negeri sudah digerakkan dalam usaha mendekati rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jentera tersebut bersedia sepenuhnya dan hanya menanti pengumuman tarikh PRU-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN.

“Sekarang kita sudah minta jentera setiap negeri menggerakkan usaha mendekati rakyat dan saya percaya BN bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menghadapi PRU-14 seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Untuk UMNO pula, kita juga telah bersedia untuk berdepan PRU-14. Bagaimanapun kita akan menunggu segala arahan daripada Presiden UMNO terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Tengku Adnan menghadiri hari anugerah kecemerlangan akademik sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri membayangkan PRU-14 akan diadakan bila-bila masa apabila meminta semua jentera parti bersedia dan memastikan kemenangan tetap milik BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sama ada PRU-14 diadakan pada tahun ini atau tahun depan, beliau meletakkan keyakinan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan di atas satu semangat kerjasama konsensus kukuh dalam BN.

Mengulas mengenai persiapan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71, Tengku Adnan berkata, elemen keagamaan akan diterapkan dalam majlis sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti yang akan berlangsung pada 11 Mei depan di Stadium Nasional Bukit Jalil

“Program ini akan diisi dengan program keagamaan terlebih dahulu sebelum Presiden parti tiba dan kita juga akan mengadakan lintas langsung dari tapak acara yang akan dibangunkan di Pusat Dagangan Dunia KL Putra , di mana kita akan tunjukkan acara pecah tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sempena hari anugerah kecemerlangan akademik hari ini, pihaknya telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada 25 buah sekolah rendah dan menengah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM20,000 sekaligus boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan pelajar masing-masing,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jentera-bn-di-setiap-negeri-sudah-digerakkan-1.470071#ixzz4ePRKinb0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, April 9, 2017

Mahathir boleh dipercayai setakat ini

NURUL KHALEEDA RASHIKIN
9 APRIL 2017
Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Aziz di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLCAH). - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menjatuhkan Umno-BN menunjukkan beliau sangat komited.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, tindakan Mahathir yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN, mendapat kepercayaan Pakatan Harapan.

"Beliau (Mahathir) boleh dipercayai... setakat ini. Untuk masa akan datang kita tidak tahu.

"Sekarang dia sangat komited untuk jatuhkan kerajaan, karakternya begitu jadi kita mempercayainya.

"Esok, lusa kita tidak tahu apa akan berlaku," katanya ketika ditemui di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.

Sebelum ini, parti Mahathir iaitu Bersatu telah menandatangani perjanjian kerjasama bersama Pakatan Harapan.

Mahathir turut dicadangkan supaya menjadi penasihat bersama dalam Pakatan Harapan supaya dapat membantu meringankan bebanan tanggungjawab Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempunyai banyak komitmen.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Mohamad Sabu mendakwa apa sahaja keputusan, mereka tetap bersama Pakatan Harapan.

"Tidak kira apa keputusan, kami bersama Pakatan Harapan, dan setakat ini kami juga turut bersama Mahathir dalam menjatuhkan kerajaan," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-