Wednesday, March 11, 2026

Kesalahan Kiandee tak setara kes Hamzah, kata Muhyiddin

 

Kesalahan Kiandee tak setara kes Hamzah, kata Muhyiddin

Kesalahan Kiandee tak setara kes Hamzah, kata Muhyiddin

Presiden Muhyiddin Yassin kata kes dipertimbangkan oleh lembaga disiplin Bersatu.

MUHYIDDIN YASSIN
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Hamzah Zainudin terlibat dalam rundingan rahsia untuk membentuk percaturan politik baharu.
PETALING JAYA:
 Keahlian Ronald Kiandee tidak dipecat kerana kesalahan beliau tidak setara kes melibatkan Hamzah Zainudin, menurut laporan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipetik Sinar Harian sebagai berkata Ronald berada dalam pertemuan bersama Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok, namun Hamzah didakwa mengetuai rundingan tanpa restu pucuk pimpinan parti.

Muhyiddin sebelum ini menuduh Hamzah terlibat dalam rundingan rahsia dengan Zahid untuk membentuk percaturan politik baharu yang membolehkan Hamzah dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sementara seorang lagi pemimpin memegang jawatan tertinggi.

Terdahulu hari ini, Bersatu mengeluarkan notis bahawa keahlian Naib Presiden Ronald Kiandee digantung selama dua penggal pemilihan, dan melucutkan semua jawatan dipegang.

Kiandee berkata sekadar menggantung keahlian ‘menimbulkan tanda tanya’ memandangkan beliau menganjurkan program ‘reset’ yang diketuai Hamzah, selain menghadiri pertemuan bersama Zahid di Bangkok.

“Macam Hamzah pergi (berjumpa Zahid) itu dah sah. Saya sebutkan dulu dia pergi berunding tanpa ada kelulusan daripada majlis pimpinan tertinggi. Dia melanggar perlembagaan dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan bahawa bukan beliau yang mempertimbangkan kes. “Lembaga disiplin menimbang ‘weightage of case’,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah membidas Muhyiddin yang menuduh beliau mengkhianati parti dengan bertemu Zahid, menyatakan beliau bebas bertemu sesiapa sahaja atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang.

Zahid Hamidi pula berkata Hamzah antara ahli politik yang ditemui beliau di Bangkok bagi membincangkan isu perpaduan Melayu dan Islam.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-