Sunday, January 11, 2015

Benarkah khutbah Jumaat JAKIM galakkan ekstrimisme?

Semua dokumen teks khhutbah Jumaat terbitan JAKIM diarkibkan dan boleh diakses secara terbuka di intenet oleh sesiapa sahaja. - Grafik TRP

KUALA LUMPUR, 10 Januari:

Adakah benar dakwaan peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan ekstremisme setiap hari Jumaat melalui teks khutbah Jumaat yang diterbitkannya?

Memandangkan Paulsen sendiri ketika dihubungi enggan memberikan ulasan atau penjelasan buat masa ini, The Rakyat Post cuba meneliti semula teks khutbah terbitan JAKIM yang boleh dimuat turun di laman web rasmi jabatan berkenaan, http://www.islam.gov.my/en/khutbah-online.

Untuk makluman, JAKIM hanya menyediakan teks khutbah bagi tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, manakala khutbah di negeri lain lazimnya disediakan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Teks khutbah kebiasaannya ditulis dalam Bahasa Malaysia dan disediakan dalam tulisan Rumi serta Jawi.

Khutbah semalam misalnya bertajuk “Mewujudkan Komuniti Penyayang” yang menyatakan terdapat tiga cara utama untuk mewujudkan masyarakat penyayang, dengan yang pertamanya ialah berpegang kepada ajaran Islam, kedua mengamalkan sikap bertolak ansur atau toleransi serta mempraktikkan kesaksamaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Antara lain, kandungan khutbah itu menyatakan: “Dalam Islam, kesaksamaan bukan sahaja dalam kalangan orang Islam malah ia keperluan untuk semua manusia tanpa mengira agama”.

Manakala cara ketiga, ialah mengelakkan ciri-ciri jahat yang boleh mewujudkan kesangsian di kalangan jemaah (masyarakat).

Terdahulu pada 2 Januari lalu, mengambil sempena sambutan Maulidur Rasul (ulangtahun kelahiran nabi Muhammad SAW) yang jatuh keesokkannya, Sabtu, 3 Januari, tajuk khutbah yang diterbitkan JAKIM ialah “Nabi (SAW) Teras Perpaduan”.

Intipati kandungannya menyentuh mengenai kecintaan kepada perpaduan dan kebencian kepada perpecahan yang antara lain menyebut Islam melarang apa-apa perkara atau tindakan yang boleh membawa kepada perpecahan.

Khutbah berkenaan menyeru umat Islam bertindak bagi mengukuhkan perpaduan dan keamanan dalam masyarakat serta negara di samping mengelakkan perkara yang boleh menghancurkan keharmonian.

Ia juga menggesa jemaah agar bersatu, memupuk rasa cinta dan bersatu memajukan agama, bangsa serta negara.

“Marilah kita bertindak berdasarkan prinsip-prinsip semangat perpaduan dan persefahaman dengan orang lain.

“Jangan biarkan timbulnya kemarahan dalam masyarakat yang akhirnya mewujudkan huru-hara dalam negara ini,” itu antara petikan teks khutbah pada 2 Januari itu.

The Rakyat Post kemudian meneroka lebih jauh dengan merujuk teks Khutbah bertarikh 26 Disember lalu pula, berjudul “Sifat Manusia”.

Didapati objektif kandungannya untuk mengingatkan mengenai tanggungjawab umat Islam untuk bermuhasabah diri, yakni sentiasa memeriksa prinsip hubungan diri masing-masing sesama manusia dan dengan Allah SWT.

Antaranya pengisian khutbah itu mengajak orang ramai melihat semula tentang segala apa yang diperkatakan dan ditulis sepanjang 2014 yang lalu.

“Adakah segala yang kita tulis dan perkatakan membawa manfaat kepada Islam atau memusnahkannya?

“Berhati-hatilah wahai jemaah kerana kadang-kala tindakan kita secara sengaja ataupun tidak boleh melemahkan agama Islam, apatah lagi sekiranya perbuatan itu didorong oleh emosi dan nafsu semata-mata,” antara petikan teks khutbah bertarikh 26 Disember 2014 itu.

Di samping itu, semua kandungan khutbah umumnya menggalakkan jemaah membantu mereka yang terjejas dalam bencana banjir yang melanda pada bulan berkenaan, serta mengelakkan penyebaran maklumat palsu mengenainya.

Hakikatnya pada era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kini semua dokumen teks khhutbah Jumaat terbitan JAKIM diarkibkan dan boleh diakses secara terbuka di intenet oleh sesiapa sahaja, maka jika dakwaan Paulsen itu benar, tentulah tidak sukar untuk beliau mengemukakan bukti kepada tuduhannya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/10/benarkah-khutbah-jumaat-jakim-galakkan-ekstrimisme/#ixzz3OTWciXxo

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-