Sunday, March 22, 2015

Kemenangan Ahmad Fathan bukan satu kejutan

Ahmad Fathan (dua dari kanan) adalah ADUN Chempaka yang baru. - Foto TRP/ Sarah M. Khir

PENGKALAN CHEPA, 22 Mac:

Calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood @ Muhammad menang besar, selepas mendapat majoriti 10,092 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, hari ini, berbanding 6,500 undi yang diperolehi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Jumlah ini menjadikan Ahmad Fathan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka yang baru, menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dengan menumpaskan semua empat calon bebas yang lain.

Kemenangan besar beliau yang memperolehi 10,899 undi mengalahkan empat calon bebas yang lain, adalah sesuatu yang sudah boleh dijangkakan sejak awal lagi.

Sebelum ini, Allalhyarham Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi pada PRU13, dengan majoriti 6,500 undi.

Keputusan rasmi PRK DUN Chempaka itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ibrahim Bakri Mat Deris di pusat penjumlahan undi, di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, tepat jam 9 malam.

Calon bebas, Sharif Mahmood yang menggunakan lambang gajah, mendapat 807 undi, manakala Izat Bukhary Ismail Bukhary (lambang pen) mendapat 51 undi.

Fadzillah Hussin yang menggunakan lambang kunci pula hanya berjaya mendapat 89 undi, sementara calon yang menggunakan lambang buku, Aslah Mamat meraih 27 undi.

Kesemua empat calon bebas berkenaan hilang wang deposit masing-masing sebanyak RM5,000.

Proses PRK hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 55 peratus, jauh daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya, iaitu sebanyak 70 peratus.

PRK DUN Chempaka kali ini diadakan, ekoran kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz, pada 12 Februari lalu, akibat kanser prostat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/22/kemenangan-ahmad-fathan-bukan-satu-kejutan/#ixzz3V813MgY4

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-