Keghairahan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahu PAS membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Rabu ini adalah satu petanda jelas kemungkinan berakhirnya era Pakatan Rakyat.
Walaupun DAP telah mengemukakan cadangan dan rayuan agar usaha membentangkan pindaan undang-undang hudud itu tidak diteruskan, Mohd Amar tetap berkeras untuk melakukannya walaupun ia melanggar keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk dalam keputusan bersama mesyuarat pucuk pimpinan gabungan itu yang terbaru pada 12 Mac lalu.
“Ini amat menyedihkan kerana ia menjadi petanda kejayaan konspirator UMNO yang telah menjalankan pelbagai usaha sejak tujuh tahun lalu dengan umpan ‘kerajaan perpaduan’ (unity government – UG) dan kemudiannya sejak setahun lalu ditambah pula dengan umpan ‘melaksanakan hudud di Kelantan’ untuk mencapai matlamat mereka memecahbelah, menggugat dan menghancurkan Pakatan Rakyat, serta menyelamatkan UMNO daripada ditolak keluar dari Putrajaya dalam PRU14,” kata Lim Kit Siang.
Menurut Ketua Parlimen DAP itu, DAP tetap dengan pendiriannya bahawa hudud tidak ada dalam persetujuan dasar bersama Pakatan Rakyat, dan ia juga disokong oleh mantan Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa hudud sememangnya bukan keutamaan Pakatan Rakyat.
Katanya, Hadi telah dipetik oleh media pada 9 Mei 2012 sebagai berkata bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan jika cukup syarat-syaratnya, termasuk selagi tiada gaji minimum atau selagi mekanisme menyelesaikan masalah pengangguran tidak wujud, maka hudud tidak boleh dilaksanakan.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, sepatutnya Pakatan lebih bersatu hati untuk menghadapi UMNO-BN yang semakin tidak popular dan hanya memerintah sebagai kerajaan minoriti dengan sokongan 47% undi popular sahaja.
Katanya, populariti Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri telah merudum kepada 44% pada Januari lalu berbanding 48% pada Oktober tahun lalu; ditambah pula dengan kemelut dalaman UMNO di mana Najib kini diserang oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta orang kanannya Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Ujar beliau lagi, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan Najib juga sudah berani mencabar kepimpinannya apabila mendesak kerajaan menyiasat dan mendedahkan skandal 1MDB yang melibatkan RM42 bilion.
Kit Siang berkata, jika Pakatan berpecah, segala kemenangan dan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam PRU13 yang lalu akan berakhir dalam PRU akan datang.
Dalam PRU13, katanya, PAS telah berjaya mengubah diri daripada parti yang hanya kuat di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terenggu kepada parti “nasional” yang memenangi kerusi di semua negeri di Semenanjung (kecuali Negeri Sembilan) atas kerjasama Pakatan.
Tambah beliau, DAP dan PKR juga beroleh kejayaan daripada usahasama Pakatan Rakyat apabila DAP menang 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN manakala PKR 28 Parlimen dan 42 DUN.
“Kesemua kejayaan ini akan tercabar jika tiada lagi Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti,” ujarnya, menambah bahawa rakyat akan menanggung derita jika UMNO-Bn kembali berkuasa penuh.
Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, jika Pakatan hancur, ia akan menghampakan rakyat yang mahu melihat kerajaan persekutuan baru yang tidak korup, tidak salahguna kuasa serta mesra-rakyat.
Malah, katanya, jika sebahagian besar pengundi hilang keyakinan dengan Pakatan kerana marah dengan pelanggaran terhadap persetujuan Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan, maka ketiga-tiga parti itu mungkin kalah teruk dalam PRU akan datang.
“Ini adalah antara beberapa realiti dan masalah sebenar yang perlu dihadapi oleh para pemimpinan Pakatan Rakyat dalam masa beberapa hari ini,” tambah beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.