Sunday, June 28, 2015

Jangan tutup isu 1MDB dengan bina masjid, kata Mahfuz Omar kepada PM

Published: 28 June 2015 7:19 AM

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang 1MDB banyak berjasa dan menyumbang pada pembangunan Islam di Malaysia membawa mesej yang salah kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Jun, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta agar jangan cuba menutup isu yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mengumumkan sumbangan syarikat itu bagi pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Najib yang 1MDB banyak berjasa dan menyumbang pada pembangunan Islam di Malaysia, termasuk pembinaan masjid itu, menerima kritikan dan tohmahan daripada pelbagai pihak.

"Perdana menteri menyatakan jasa dan sumbangan 1MDB kepada umat Islam sangat besar. Ini memberi maksud seolah-olah beliau mahu rakyat, khususnya umat Islam, memberikan kemaafan pada apa pun kesalahan yang dilakukan 1MDB, sebab 1MDB pun buat baik juga.

"Pemikiran begini sangat merbahaya kepada pembangunan insan," kata bekas ketua penerangan PAS itu dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, Najib berkata, walaupun 1MDB menerima pelbagai kritikan, namun ia sebenarnya banyak berjasa untuk pembangunan Islam di negara ini.

Katanya, pembangunan semula masjid itu, yang menelan belanja sebanyak RM20 juta, adalah sebahagian daripada sumbangan syarikat itu melalui Yayasan 1MDB.

Bagi Mahfuz, kenyataan itu membawa mesej yang salah kepada rakyat.

Ia seolah-olah membenarkan sesuatu kesalahan dan dosa yang boleh "dicuci" dengan sedikit pemberian sedekah mahupun membiayai kerja umrah.

"Inilah yang dilakukan 1MDB. Pengurusan yang pincang dengan penyelewengan yang membabitkan tanggungan hutang RM42 bilion, kemudian dicuci segala penyelewengan tersebut dengan sumbangan membina masjid dan membawa imam-imam menunaikan ibadah haji dan umrah.

"Mudahnya memerintah Malaysia. Lepas ini rompaklah sebanyak mana pun, kemudian perompak sumbang buat masjid, tutup kes," sindir Mahfuz dalam kenyataan itu.

Baginya, pemikiran sebegitu menyebabkan tiada usaha bersungguh-sungguh penguatkuasaan undang-undang bagi mengatasi segala penyelewengan dalam pentadbiran dan pengurusan wang negara.

"Kepada perdana menteri, berhentilah memainkan emosi sentimental Ramadan bulan kebajikan untuk menutup segala persoalan yang berbangkit dalam 1MDB yang tak terjawab hingga kini," katanya. – 28 Jun, 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-