Monday, July 27, 2015

Ini apa kata Muhyiddin pula........?

PM perlu jawab tuduhan duit masuk akaun peribadinya, kata Muhyiddin

OLEH DIYANA IBRAHIM
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cheras di Kuala Lumpur mengakui begitu banyak persoalan mengenai dakwaan media antarabangsa yang masih tidak jelas dan ini menimbulkan kebimbangan kerana ianya bukan melibatkan jumlah kecil tapi hingga beratus juta dolar. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2015.

Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang disalurkan ke dalam akuan peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara serius yang perlu dijelaskan.

Timbalan perdana menteri yang pertama kali mengulas isu tersebut mengakui begitu banyak persoalan mengenai dakwaan media antarabangsa yang masih tidak jelas dan ini menimbulkan kebimbangan kerana ianya bukan melibatkan jumlah kecil tapi hingga beratus juta dolar.

"Pada awal berita itu, saya teks beliau, saya panggil 'sir' (panggilan hormat) saya kata pada dia ini merupakan tuduhan serius anda kena nafi, kemudian beliau jawab terima kasih dan kata sudah nafi.

"Namun walau sudah nafi yang buat itu adalah daripada Jabatan Perdana Menteri, saya kata balik beliau yang kena nafikan sendiri sebab tuduhan itu merujuk kepadanya, dan lepas itu baru ada penafian," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga mendedahkan membangkitkan perkara tersebut berapa kali dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno dan mesyuarat Kabinet kerana merasakan tanggungjawabnya sebagai timbalan perdana menteri menyuarakan hal berkenaan.

"Saya ada tanggungjawab sebagai timbalan perdana menteri saya beri pandangan dalam MT sekali sekala, dalam jemaah menteri tiap-tiap minggu saya kata mesti kena ada jalan penyelesaian. Ianya perlu dimuktamadkan.

"Kalau tidak selesai maka ia akan jadi beban, kalau seringgit dua tidak apa, tapi sepatutnya kalau tidak ada 1MDB tidak akan ada masalah," katanya.

Pada masa sama beliau mengakui kerap kali dikecam rakyat kerana dilihat terlalu mendiamkan diri dalam isu tersebut.

Beliau berkata, amat bersetuju sekiranya pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu menjalankan tugas mereka tanpa diganggu mana-mana pihak lain.

Katanya tidak mempunyai halangan sekiranya laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1MDB didedahkan kepada umum agar ianya dapat menjawab segala persoalan mengenai skandal tersebut.

"Saya ikhlas nyatakan perkara ini kerana ramai ahli parti kata TPM ini terlalu senyap, kadang geram juga namun isu ini bukan mudah saya kata tidak mahu terlebih batas.

"Saya setuju pasukan khas melaksanakan tanggungjawab tanpa diganggu mana-mana pihak, lagi cepat lagi baik, kalau siasat tahan bersalah dan mesti ada yang salah, lagi cepat lagi baik untuk parti.

"Saya juga tidak ada halangan kalau laporan interim didedahkan umum supaya orang tidak akan tertanya-tanya atau diputar belitkan media antarabangsa," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pm-perlu-jawab-tuduhan-duit-masuk-akaun-peribadinya-kata-muhyiddin#sthash.duqEqZjD.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-