ADILA SHARINNI WAHID
12 Julai 2015
gambar hiasan
KOTA BHARU – Seorang lelaki berasal dari Kadok, Ketereh, di sini, ditahan penduduk Kampung Lundang Paku, Jalan Dewan Beta, di sini, selepas dipercayai mencuri setandan pisang milik pekebun di kampung berkenaan, Jumaat lalu.
Lelaki itu ditahan selepas cubaannya membawa lari pisang dicuri yang dimasukkan ke dalam guni menggunakan sebuah motosikal pada jam 3.15 petang.
Seorang penduduk yang juga anggota polis, Koperal Salmizi Che Mat berkata, ketika kejadian hujan lebat dan dia sedang berehat di hadapan rumahnya terlihat pokok pisang di dalam kebun sebelah rumahnya bergoyang. Pada mulanya dia menyangka ada yang sedang ‘beradu asmara’ di situ.
Apabila diperiksa, dia mendapati seorang lelaki sedang memotong setandan pisang menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya ke dalam sebuah guni.
“Saya kemudian menelefon beberapa penduduk kampung untuk datang sama-sama menangkap lelaki itu. Sambil memerhatikan gerak-gerinya, saya kemudian menahan motosikal dinaiki.
“Semasa menghampirinya berlaku sedikit pergelutan dan lelaki itu mempunyai pisau. Apabila diperiksa guni yang dibawanya berisi setandan pisang dan dia mengaku mencuri pisang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan laporan dibuat di balai polis Nilam Puri, di sini.
“Kejadian curi buah di kawasan kampung ini agak membimbangkan, malah kes pecah rumah juga kerap berlaku dan turut membabitkan rumah saya sendiri, bulan lalu. Bulan lepas rumah jiran yang tidak jauh dari kawasan rumah saya, juga dipecah masuk dan membabitkan kerugian ribuan ringgit.
“Sehubungan itu, orang kampung secara beramai-ramai bekerjasama berkawal dan sentiasa berjaga-jaga keamanan kampung ini. Saya juga berharap agar pihak berkuasa memandang berat masalah jenayah di kampung kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.