Wednesday, July 25, 2018

'Perpaduan parti Melayu gagal kerana persepsi'

Anne Muhammad
Diterbitkan 25 Jul 2018, 8:13 malam 


Perpaduan dua parti Melayu - Umno dan PAS - sebenarnya boleh dilakukan namun terhalang oleh kebimbangan kedua-dua parti terhadap persepsi masyarakat.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Ab Rahman berkata kedua-dua parti itu boleh bekerjasama mengikut keperluan dalam konteks perpaduan kerana ia menguntungkan Melayu.

“Orang Melayu ni, politik dia terlalu didorong oleh persepsi.

"Dia sendiri tak merancang strategi politik berdasarkan fakta, kajian dan keperluan sebenar sebaliknya tindakan mereka berdasarkan politik acuan orang lain.

"Jadi saya rasa orang Melayu kena keluar dari persepsi politik dan bertindak ikut strategik," katanya.

Sebagai contoh, menurut Abdullah Zaik, isu perpaduan PAS dan Umno.

Kedua-dua parti itu, katanya, sepatutnya bekerjasama mengikut keperluan sebenar dan pemimpin perlu berfikiran positif namun gagal kerana dipersepsikan sebaliknya.

Jadi, kata Abdullah Zaik, mereka gagal bergerak ke hadapan kerana dipersepsikan bahawa gabungan itu akan menjadi negatif.

“Jadi mereka sentiasa bertindak tak berasas, bertindak ikut persepsi musuh politik dan bukannya kerana kepentingan masing-masing.

"Pada masa sama memang itulah yang dimahukan musuh politik mereka, iaitu supaya kedua-dua parti berpecah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dipisahkan kerana persepsi politik

Abdullah Zaik (gambar) dihubungi bagi mengulas kenyataan anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang menggesa supaya orang Melayu bersatu.

Mewajarkan pandangan itu, Mohd Zuhdi berkata penyatuan bangsa itu perlu kerana pada masa sama masyarakat Cina boleh bersatu di negara ini.
Sebagai contoh, bekas calon PAS bagi kerusi parlimen Shah Alam itu menyatakan sekurang-kurangnya 95 pengundi Cina memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14 lalu.

Katanya mereka memilih mana-mana calon yang mewakili HARAPAN sama ada calon itu Melayu, Cina, India atau lain-lain.

Selain itu, kata Mohd Zuhdi, pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis akan menjadi kayu pengukur kepada pengundi di kawasan itu.

Menurut Abdullah Zaik lagi, orang Melayu di negara ini memiliki persamaan dari segi kesatuan, agama, mazhab, budaya malah makanan, namun mereka dipisahkan kerana persepsi politik.

“Maknanya (apabila ini terjadi), parti pemerintah boleh gunakan untuk kukuhkan kedudukan mereka," katanya.

Pada masa sama Abdullah Zaik berkata, kerajaan HARAPAN juga merangka dasar atas persepsi sama iaitu kebimbangan sekiranya orang ramai bertindak berdasarkan kaum.

Keadaan itu, katanya menyebabkan orang Melayu rugi.

Lumrah demokrasi

Sementara itu, pemangku presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Sirajuddin Mohd Salleh (gambar) pula melihat Melayu kini sudah pun berpecah.

Bagi menyelesaikan perkara itu, katanya, semua parti berasaskan Melayu dan Islam harus bersatu di bawah satu bumbung.
“Apa salahnya semua pemimpin parti politik Melayu ini duduk bersama?

"Saya harap pemimpin Melayu ini jangan fikir jangka pendek dan kepentingan diri semata-mata, nak fikir kerusi sahaja.

"Kalau boleh letakkan kepentingan Islam dan Melayu di depan. Justeru mereka mesti berkorban, bersatulah di bawah satu parti supaya kita kuat macam sebelum merdeka.

"PAS, Umno, BERSATU, AMANAH buat satu parti,” kata Sirajuddin.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan pula melihat isu berkaitan Melayu perlu bersatu itu sengaja dimainkan pihak tertentu bagi tujuan politik.

“Sebenarnya pada saya Melayu sengaja dipecahkan dan dipanggil untuk bersatu.

"Apabila panggilan bersatu itu dibuat, ia untuk tujuan politik saja," katanya.

Menurut Ahmad Ghazali, dalam mana-mana masyarakat tiada yang bersatu 100 peratus.

Hal itu dapat dilihat di seluruh dunia seperti di Palestin, AS, Jepun malah di kalangan masyarakat Yahudi.

"Isu bersatu 100 peratus tak timbul dan inilah realiti dalam masyarakat kita,” katanya.

Ahmad Ghazali turut berkata pada PRU ke-14 undi bukan Melayu terhadap HARAPAN bukan disebabkan “membantu” sesuatu bangsa sebaliknya kerana rakyat mahu menolak kerajaan tidak digemari.

“Isu perpecahan lumrah masyarakat demokrasi.

“Kita kena lihat dari sudut Malaysia bukan lagi dari sudut bangsa dan agama. Jika (lihat bangsa dan agama) maka itu (isu perpecahan) yang nampak berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-