Sunday, June 30, 2019

Budi rakyat pilih PH akan dibalas oleh kerajaan

Oleh BERNAMA
June 30, 2019 6:54 am

Kerajaan akan membalas budi rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan (PH), sebagai gabungan parti untuk memimpin negara pada pilihan raya umum lepas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun ada pihak yang berkata tiada pencapaian yang dibuat setelah PH menjadi kerajaan, namun sebenarnya sudah banyak yang dihasilkan oleh pemerintahan PH.

“Kita sudah selesaikan banyak masalah yang ditinggalkan parti lama (yang memerintah sebelum ini) dan kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Kita dah janji untuk berkongsi kekayaan negara dan kita perkenalkan dasar baharu iaitu kemakmuran bersama… Kita akan tentukan tiada sesiapa akan tertinggal,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Peringkat Nasional malam tadi.

Dr Mahathir berkata dasar baharu kerajaan akan dapat direalisasikan selagi rakyat menyokong segala rancangan yang disusun kerajaan.

Beliau berkata bagi sektor pertanian, yang banyak melibatkan golongan miskin misalnya, bidang itu akan diperkenalkan dengan pelbagai pendekatan baharu, supaya rakyat di luar bandar dapat menikmati kemakmuran sama seperti di bandar.

Sementara itu katanya setelah PH mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak kini sudah tidak lagi berada dalam ketakutan dan bebas membuat teguran kepada kerajaan.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap, tapi lebih cekap daripada (kerajaan) dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih sempurna,” katanya.

Hampir 20,000 rakyat hadir pada majlis Aidilfitri yang diadakan di Dewan Konvensyen MBI Desaku di sini yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

BERNAMA

Berita penuh https://malaysiadateline.com/budi-rakyat-pilih-ph-akan-dibalas-oleh-kerajaan/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-