Saturday, June 22, 2019

Duit Najib untuk bekal kain, jubah bagi program amal PMO, kata Jakel

FMT Reporters
-June 22, 2019 4:34 PM

Jakel berkata, semua dokumen berkaitan urus niaga dengan Najib dan PMO sudah diserahkan kepada SPRM dan mereka akan terus bekerjasama dengan agensi itu untuk membersihkan nama baiknya.

PETALING JAYA: Syarikat tekstil, Jakel hari ini mengesahkan ia menerima pesanan daripada bekas perdana menteri, Najib Razak untuk membekalkan kain dan jubah bagi semua program amal anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Katanya, bekalan kain dan jubah itu untuk diagihkan kepada lebih 7,000 masjid di seluruh negara serta mangsa banjir antara 2011 dan 2014.

“Transaksi-transaksi tersebut berlaku sebelum sebarang isu berkaitan 1MDB timbul dalam pengetahuan kami,” kata Jakel dalam kenyataan hari ini.

“Pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.

“Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut, kecuali sekiranya terdapat bukti jelas dana tersebut diperolehi secara tidak sah.”

Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd antara 41 entiti serta individu yang dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam sebagai penerima kira-kira RM270 juta dikatakan dana 1MDB.

Penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.

Jakel berkata, semua urus niaga itu adalah tulen dan disokong bukti dokumen sahih serta ia tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti pengubahan wang haram.

“Kami menjalankan aktiviti jual beli kami dengan tiada prasangka, di mana semua pelanggan dilayan secara profesional dan baik. Segala transaksi jual beli terbabit adalah berdasarkan invois dan semua pembayaran diterima dengan tiada syak wasangka.

“Jakel komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan kami ingin menekankan bahawa kami amat sedar bahawa tidak ada apa-apa kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah dan tidak beretika.”

Syarikat itu berkata, ia sudah menyerahkan semua dokumen berkaitan urus niaga dengan Najib kepada SPRM dan akan terus bekerjasama dengan agensi anti-rasuah itu untuk membersihkan nama baiknya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-