-June 15, 2019 6:25 PM
Muzzammil Ismail. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pemuda PPBM membidas kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis kerana secara terbuka dan keras “mengasak” Dr Mahathir Mohamad mengenai penyerahan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Exco Muzzammil Ismail berkata asakan seperti itu boleh membantutkan proses peralihan kuasa, dan menambah penularan video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak boleh dijadikan alasan untuk menekan Mahathir.
“Kumpulan ini hanya bercita-cita mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. Itu sahaja kiblat perjuangan mereka sedangkan agenda besar lain iaitu mengurus tadbir negara dan mengukuhkan kepercayaan rakyat langsung tidak diambil peduli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemuda PPBM mengingatkan Otai Reformis bahawa generasi muda “muak” dengan politik berebut jawatan, dan memberi amaran budaya politik serang-menyerang di media, mengadu domba dan fitnah boleh meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru mencecah setahun.
“Matlamat kita berpolitik sewajarnya hanya ingin mengubah tanggapan rakyat berfikir, khususnya dalam menerima kerajaan baru hari ini,” katanya.
Semalam, Otai Reformis menggesa Mahathir menetapkan satu tarikh untuk beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar kerana didakwa tidak mematuhi manifesto pilihan raya PH.
Kumpulan itu juga menarik perhatian kepada perasaan masyarakat terhadap pentadbiran sekarang dalam setahun ini.
Pengerusinya, Dr Idris Ahmad berkata walaupun pengerusi PPBM itu berjanji akan menyerahkan jawatan tersebut dalam tempoh 2 tahun, Mahathir perlu menetapkan satu garis masa agar masyarakat dan pelabur lebih yakin akan masa depan kerajaan.
“Kenyataan Mahathir baru-baru ini, satu tempat beri kenyataan lain dan di satu tempat lagi kenyataannya pula lain. Ini meragukan,” katanya pada sidang media.
Menerusi persefahaman dalam kalangan pimpinan PH, Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah pada 3 Januari lalu berkata, perjanjian PH sebelum PRU-14 tidak menetapkan suatu tempoh masa untuk Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.