-June 30, 2019 6:53 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka berdepan cabaran untuk membuktikan keberkesanan kepimpinannya berikutan pengumuman beliau hari ini untuk kembali aktif setelah bercuti selama 6 bulan.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan berdepan isu “tanggapan moral” di samping masalah keberkesanan dalam menjalankan semula tugas memimpin parti itu bermula hari ini.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pihak luar seperti sesetengah ahli PAS, malah sesetengah pimpinan dan ahli Umno juga mungkin tidak bersetuju dengan perkembangan itu kerana menganggap parti itu dipimpin oleh individu yang terpalit dengan rasuah.
“Akan ada pihak yang mempersoalkan (kepimpinan Zahid) dari segi moral kerana beliau sedang berdepan dengan banyak pertuduhan di mahkamah.
“Jadi persoalan yang bermain di fikiran sesetengah pihak adalah bagaimana dakwaan rasuah yang tergantung di atas kepala Zahid ini, dan apakah dia boleh melaksanakan tugas dengan efektif,” katanya kepada FMT.
Kamarul Zaman Yusoff.
Terdahulu hari ini, Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin Umno selepas bercuti selama 6 bulan sebelum ini.Beliau membuat pengumuman itu pada satu majlis Hari Raya di Sungai Sumun di Perak, bersempena 1 tahun dipilih sebagai presiden Umno.
Dalam ucapannya, Zahid mengingatkan khalayak bahawa beliau dipilih, bukannya dilantik, sebagai presiden Umno setahun lepas.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, keputusan Zahid untuk meneruskan tugasnya itu bukanlah satu masalah kerana tiada pihak atau peraturan yang boleh menghalangnya daripada berbuat demikian.
Beliau berkata, Zahid juga masih boleh berlindung di sebalik kenyataan bahawa beliau tidak bersalah selagi mahkamah tidak membuat keputusan sebaliknya.
“Beliau (Zahid) masih boleh berlindung di sebalik prinsip bahawa seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah seperti yang dipegang oleh PAS,” katanya.
Kamarul berkata, Zahid juga berdepan cabaran untuk meneruskan apa-apa yang telah dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, seperti kerjasama dengan parti pembangkang, terutama PAS.
Beliau berkata, Zahid berdepan tugas sukar untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang mungkin diadakan selepas ini kerana banyak kemenangan PRK sebelum ini diperoleh ketika Mohamad menjalankan tugas memimpin parti itu dan Barisan Nasional (BN).
Zahid kini berdepan 87 pertuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.