Tuesday, February 23, 2021

Umno terbuka kerjasama dengan musuh jika ‘direstui’ ahli, kata Najib

FMT Reporters
-February 22, 2021 11:22 PM

Najib Razak berkata, kerjasama dengan musuh politik tidak akan berlaku, jika ia hanya dipersetujui pucuk pemimpin Umno, tetapi ditolak ahlinya.

PETALING JAYA: Bekas presiden Umno, Najib Razak berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan musuh politik, dengan syarat ia diterima pucuk pimpinan dan ahlinya.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu berkata, kerjasama dengan musuh politik tidak akan berlaku, jika ia hanya dipersetujui pucuk pemimpin Umno, tetapi ditolak ahlinya.

Katanya, keterbukaan itu susulan dinamik politik negara yang berubah-ubah ketika ini, beliau memberi contoh tiada orang sangka Dr Mahathir Mohamad boleh bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP.

“Kalau lihat kepada Pakatan Harapan, siapa boleh fikirkan Mahathir dengan Anwar boleh bersama dalam satu pakatan politik nak jatuhkan BN, Mahathir dengan DAP boleh duduk semeja, boleh lantik DAP ke jawatan penting itu. Semua itu kita tak terfikir, tapi ia berlaku.

“Saya tidak nampak ada apa-apa sebab kenapa kita tidak boleh ada keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua (termasuk musuh politik), dengan syarat ahli dan pemimpin Umno mesti boleh terima dan mereka yang nak kerjasama kena ikhlas, dan kena ada kebolehpercayaan nak bekerjasama.

“Kalau kita nak buat satu pakatan politik baru, tapi tak berdasarkan kebolehpercayaan, ia akan runtuh. Lihat apa yang berlaku kepada PH sebab asas kebolehpercayaan itu tidak ada,” katanya menerusi wawancara bersama Astro Awani tanpa menamakan parti musuh itu.

Umno tidak berpecah, cuma beza pendapat

Najib mengakui wujud perbezaan pendapat dalam Umno selepas parti itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Ada perbezaan pendapat, mungkin tidak sampai peringkat perpecahan, tapi wujudnya kelompok tertentu yang membawa pandangan berbeza dalam Umno.

“Sekarang ini nampak seolah-olah ada pelbagai pendapat dalam Umno, dan orang merasakan Umno kabur daripada hala tujunya, tapi saya yakin dan percaya bila sampai masanya, kita dapat menyatukan pandangan Umno dan menentukan hala tuju dan keputusan yang mutlak, apa patut diikuti.”

Katanya, Umno tidak pernah melalui zaman mencabar seperti hari ini, dengan menjadi pembangkang selama 22 bulan dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional tanpa kuasa mutlak.

Mengulas desakan supaya Umno mengangkat pemimpin baru, Najib berkata, usia muda tidak cukup untuk seseorang itu menjadi pemimpin yang baik.

Beliau berkata, Umno memerlukan peremajaan, dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk pemimpin lebih muda, tetapi ia perlu dilakukan secara terancang.

“Cuma kita tak boleh terbawa-bawa sangat dengan kefahaman pemimpin muda semestinya terbaik. Saya tak boleh gunakan satu kriteria kerana ia bukan soal umur saja.

“Umur mungkin membawa kepada yang muda, mungkin lebih dinamik, lebih bertenaga, tetapi ada satu atau dua lagi kriteria – pengalaman dan juga kebijaksanaan, ‘wisdom’,” katanya sambil menambah Umno sudah lama mendahului parti lain dalam menyediakan ruang secukupnya untuk generasi pelapis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-