-March 2, 2021 12:07 PM
Bekas menteri pendidikan itu berkata, proses tindakan undang-undang ini adalah untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.
PETALING JAYA: Padam serta-merta hantaran di media sosial berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah Tingkatan 4 ada unsur fakta dimanipulasikan, dan minta maaf atas ‘fitnah’.
Demikian tuntutan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki melalui surat tuntutan yang dihantar pihaknya.
Beliau berkata sekiranya tuntutan-tuntutan itu tidak dilayan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil oleh peguam beliau.
Tuntutan lain dalam surat tersebut adalah supaya Asyraf memastikan bahawa mana-mana profil atau halaman Facebook dan media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta.
Maszlee juga menuntut Asyraf membayar sejumlah wang yang terlebih dahulu dipersetujui beliau sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas memfitnah beliau.
Berkenaan permohonan maaf daripada Asyraf, Maszlee menuntut ketua pemuda Umno itu menerbitkan kenyataan bertulis yang dipersetujui bersama di Facebook dan akhbar tempatan.
“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.
“Sebagai pengajaran bersama, saya percaya rakyat Malaysia amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum di Malaysia,” kata beliau.
Maszlee sebelum ini menggesa Asyraf menarik balik kenyataan berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah Tingkatan 4 ada unsur fakta dimanipulasikan.
Beliau menambah, sekiranya tiada permohonan maaf atau penarikan kenyataan dibuat Asyraf, beliau akan memfailkan kes saman fitnah.
Pada 27 Feb, Asyraf berkata, beliau tidak memetik nama sesiapa, termasuk Maszlee, ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengandungi fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.